Skip this ad x
IKHWAN dan Siti Nurbaya bersama anak mereka Muhammad Al Fateh yang diberikan susu ibu sepenuhnya.
PEKERJA menjalankan aktiviti pembungkusan MaMom di kilang.
BERSAMA produk penggalak susu badan MaMom.
Siti Zarinah Sahib


Kesedaran mengenai penyusuan susu ibu semakin meningkat pada masa kini disebabkan ramai ibu ingin memberikan yang terbaik kepada bayi mereka. Namun ada wanita terutama yang berkerjaya menghadapi kekangan disebabkan tidak mendapat sokongan keluarga, persekitaran kurang selesa di pejabat untuk mengepam susu, tidak menjaga pemakanan dan tidak mengepam mengikut waktunya.

Semua faktor ini menyebabkan keinginan menyusukan anak selama enam bulan secara eksklusif yang dilanjutkan sehingga dua tahun tidak berhasil. Akhirnya mereka terpaksa mencampurkannya dengan susu formula.

Terdapat banyak kebaikan susu badan, antaranya menguatkan antibodi si kecil daripada mendapat penyakit. Bayi juga lebih aktif dan mempunyai rangsangan yang sangat positif dengan ibu kerana sentuhan kulit ke kulit ketika penyusuan berlaku. Famili

Berdasarkan pengalaman ibu kepada bayi berusia empat bulan, Siti Nurbaya Mohamed, 29, yang juga Ketua Pegawai Operasi Herbaworks Healthcare Sdn Bhd, mempelajari teknik penyusuan sangat penting bagi membolehkan ibu menyusukan bayi mereka sepenuhnya. Ini termasuk teknik menyusukan bayi agar ia tidak menyakitkan dan penyimpanan susu ibu.

Ada antara suami yang tidak memberikan sokongan, ini boleh menyebabkan isteri tertekan lantas mengganggu pengeluaran susu.

“Terdapat banyak faktor yang menyebabkan pengeluaran susu badan terganggu. Ia bukan saja satu pihak tetapi perlu mendapat sokongan suami. Selain itu, menjaga pemakanan sangat penting supaya ibu mendapat makanan berkhasiat,” katanya.

Menurut Siti Nurbaya, sebelum melahirkan anak, dia mendapati ramai ibu mempunyai masalah penyusuan. Malah kakaknya sendiri mengalami masalah puting payudara tersumbat sehingga tidak dapat menyusukan anak mereka. Bukan itu saja, rakan yang baru saja bergelar ibu sering merungut susu sedikit dan cepat kering sebelum anak berusia enam bulan.

Menyedari masalah ini, dia bersama suami yang selama ini mengeluarkan produk menguruskan badan cuba mencari penyelesaian menerusi penghasilan makanan tambahan penggalak susu ibu.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Herbaworks Healthcare Sdn Bhd Ikhwan Ilyas, sebelum ini memang sudah ada di pasaran produk penggalak susu tetapi dalam bentuk biskut, cecair dan serbuk.

“Saya cuba membuat penyelidikan untuk menghasilkan makanan tambahan dalam bentuk tablet agar lebih mudah mengambilnya. Kajian mengenai bahannya juga mengambil masa. Saya sendiri tahu ada herba yang berfungsi meningkatkan susu badan antaranya halba, habatus sauda, kurma dan madu namun kebanyakan wanita tidak gemar mengambilnya begitu saja. Ada juga yang kurang konsisten disebabkan terlupa dan perlu mengambil dalam jumlah yang banyak,” katanya.

Menerusi bahan seperti kurma, habbatus sauda, susu kambing dan ekstrak alfalfa, ia berfungsi sebagai penggalak susu terbaik. Untuk itu menerusi gabungan bahan ini Ikhwan menghasilkan tablet penggalak susu berperisa vanila. Namun ia bukanlah semudah disangka kerana pada mulanya ia kurang berkesan.

Namun selepas dibuat pengubahsuaian bahan dan cuba diberikan kepada ibu yang menghadapi masalah susu badan, akhirnya Ikhwan mendapat bentuk seperti yang ada sekarang.

“Testimoni pertama saya berikan kepada kakak yang menghadapi masalah penyusuan. Dalam masa dua hari selepas mengambil makanan tambahan ini, susu badan terhasil.

“Ini sudah tentu menggembirakan saya kerana saya dapat membantu ibu menyusukan bayi mereka semula. Bagi suami pula sudah tentu dengan kos hidup yang semakin meningkat memberikan susu badan dapat menjimatkan kewangan daripada membeli susu formula,” katanya yang menggunakan nama MaMom untuk produk penggalak susu yang dihasilkannya ini.

Jelas Siti Nurbaya yang juga isteri kepada Ikhwan, dia sudah mengambil MaMom dua bulan sebelum bersalin. Kemudian diteruskan sebiji hingga dua biji sehari selepas melahirkan anak. Hasilnya susu badan semakin banyak dan melimpah ruah.

“Tiga hari selepas bersalin bayi kami Muhammad Al-Fateh menghadapi demam kuning. Bimbang keadaannya sekiranya dimasukkan ke hospital, saya terus memberikan susu badan setiap satu jam. Hasilnya demam kuning semakin berkurangan dan bayi lebih sihat dengan pertambahan berat badan sesuai usianya. Disebabkan sudah bekerja pada bulan ketiga saya dapat menyimpan stok untuk Al Fateh,” katanya.

Katanya, kebanyakan wanita tidak mengetahui adanya makanan tambahan penggalak susu kerana berasakan ia tidak perlu dan tidak berfungsi. Namun ramai mengakui MaMom dengan kandungan bahan aktif ini mampu memanjangkan pengeluaran susu badan. Malah ada ibu yang dapat menyusukan bayi mereka selepas dua tahun tidak menyusukan anak hanya dengan pengambilannya.

“Sebenarnya pengambilan MaMom sama seperti anda mengambil makanan tambahan secara terus. Misalnya halba, habbatus sauda atau madu. Namun sifat semula jadi manusia inginkan perkara yang mudah. Jadi dengan hanya mengambil sebiji tablet yang merangkumi semua bahan di dalamnya ia sudah mencukupi,” kata Ikhwan.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai cara pemakanan, bagi wanita yang mengalami kekeringan susu boleh cuba mengambil sebanyak dua biji pagi dan dua biji malam. Kemudian boleh mengurangkannya selepas susu terhasil. Tetapi mereka diingatkan agar sentiasa menjaga pemakanan sihat, elakkan mengambil minuman berkafein dan mengepam susu setiap tiga jam supaya pengeluaran susu terus terhasil.

Ikhwan yang cuba membawa MaMom memasuki pasaran Jepun dan Korea, berharap pendedahan mengenai pentingnya memberikan susu ibu sebagai makanan permulaan sehingga anak berusia enam bulan dan diteruskan sehingga dua tahun dapat diterima masyarakat. Berbanding wanita di Jepun dan Korea kesedaran wanita Malaysia masih rendah dalam perkara menyusukan anak.

“Mungkin disebabkan rasa kecewa setiap kali menyusukan anak apabila susu tidak cukup atau tiada sokongan keluarga, ramai ibu patah semangat. Tetapi sekiranya mereka mengetahui mengenai kebaikan susu ibu sudah tentu ramai yang ingin mencuba dan mengambil makanan tambahan sebagai penyelesaiannya,” katanya.

Panduan menambah susu badan:

1. Susukan bayi pada bila-bila masa terutama apabila dia lapar. Lebih banyak bayi menyusu lebih banyak susu akan terhasil.

2. Susukan bayi pada kedua-dua belah payudara sehingga bayi itu sendiri yang melepaskan puting selepas kekenyangan. Ini akan merangsang lebih banyak penghasilan susu.

3. Jarak antara penyusuan mestilah tidak melebihi dua jam. Susukan sekerap yang boleh, berikan bayi peluang untuk menghisap dari payudara untuk merangsang penghasilan susu

4. Jangan lupa sentiasa tenang sewaktu menyusukan bayi. Ini kerana perasaan tertekan atau kurang keyakinan boleh menyebabkan susu berkurangan.

5. Bagi ibu berkerjaya dapatkan rehat secukupnya.

6. Sebelum bayi enam bulan elakkan memberi makanan lain selain susu badan. Ini kerana apabila bayi mendapat makanan tambahan, bayi akan kurang menyusu dan ini sekali gus mengurangkan penghasilan susu ibu.

7. Penghasilan susu juga boleh terjejas akibat pemakanan. Elakkan mengambil minuman berkafein bagi mengelak susu berkurangan.

8. Ambil hidangan seimbang berpandukan piramid makanan. Makan pelbagai jenis makanan kaya nutrien.

9. Banyakkan minum air suam, dua liter sehari.

10. Simpan stok susu ketika dalam pantang agar anda dapat membekalkan susu ibu selepas mula bekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 1:08 PM