Kawasan di Pitas yang mula ditenggelami banjir menyebabkan tujuh sekolah ditutup. FOTO Ihsan pembaca
Kawasan di Pitas yang mula ditenggelami banjir menyebabkan tujuh sekolah ditutup. FOTO Ihsan pembaca
Ardyhansah Amat


Kota Kinabalu: Seramai 1,203 murid terjejas selepas tujuh sekolah rendah di Pitas terpaksa ditutup, hari ini, akibat banjir berikutan hujan lebat, sejak malam tadi.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Maimunah Suhaibul ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

"Antara sekolah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Pandan Madamai, SK Sosop, SK Pinggan Pinggan, SK Mandurian, SK Pinapak, SK Nibang dan SK Rukom.

"Bagaimanapun, hanya SK Pandan Mandamai sahaja yang ditenggelami air, manakala sekolah lain terputus hubungan selepas jalan raya yang menghubungkan sekolah itu tidak dapat dilalui akibat banjir," katanya, di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, selain murid, seramai 131 guru dan 29 kakitangan sekolah turut terjejas akibat kejadian tersebut.

"Bagaimanapun, penutupan itu hanya dilakukan hari ini, dan pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa.

"Sekolah akan dibuka semula selepas keadaan (banjir) reda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 3:55 PM