Anggota bomba memberi bantuan kecemasan dalam usaha menyelamatkan mangsa. - Foto Ihsan Bomba
Anggota bomba memberi bantuan kecemasan dalam usaha menyelamatkan mangsa. - Foto Ihsan Bomba
Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: Seorang kanak-kanak lelaki lemas ketika mandi bersama rakannya di kolam tapak pembinaan Taman Mawar Batu 5 di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, Azrieshah Adamshah, 12, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang bergegas ke lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Mohd Razali Awang Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 4.39 petang.

“Mangsa dikatakan mandi bersama rakannya di kolam kawasan tapak pembinaan satu perumahan baru dan dikatakan hilang sebelum rakannya menghubungi pasukan keselamatan.

"Mangsa ditemui pasukan menyelamat sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya.

Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Duncess Of Kent di sini, untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 9:48 PM