AKTIVITI mewarna lukisan sebelum dianimasikan.
AKTIVITI mewarna lukisan sebelum dianimasikan.
IMAGINARIUM Virtual Safari memberikan pengalaman berbeza buat pengunjung.
IMAGINARIUM Virtual Safari memberikan pengalaman berbeza buat pengunjung.
ANTARA aktiviti yang boleh dilakukan di Imaginarium Time Tunnel.
ANTARA aktiviti yang boleh dilakukan di Imaginarium Time Tunnel.
PENGUNJUNG teruja melihat hasil karya dijadikan animasi 3D dan dipaparkan di skrin.
PENGUNJUNG teruja melihat hasil karya dijadikan animasi 3D dan dipaparkan di skrin.
ANTARA yang menarik di Imaginarium Langkawi.
ANTARA yang menarik di Imaginarium Langkawi.
Suliati Asri

[email protected].

Melihat sendiri lukisan yang diwarna dan dilukis kemudian dianimasikan secara 3 dimensi (3D) di atas skrin selebar 9.1 meter sememangnya cukup mengujakan. Terasa bangga saat melihat karya yang dihasilkan itu.

Itu belum lagi melalui laluan merentas masa yang membawa pengunjung ke lima zon masa yang menakjubkan. Pastinya setiap pengalaman dirasai adalah kenangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Ingin merasai sendiri keterujaan itu? ‘Edutainment’ berkonsepkan Augmented Reality yang pertama di negara ini, Imaginarium Langkawi adalah lokasinya.

Padat dengan teknologi untuk mengasah kreativiti dan imaginasi dewasa dan kanak-kanak, Imaginarium Langkawi membolehkan pengunjungnya melalui pengalaman yang inovatif dan interaktif.

Imaginarium menggunakan teknologi Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR) yang terkini bagi membolehkan pengunjung merentasi lima dimensi futuristik di samping merealisasikan imaginasi mereka.

Terletak berhadapan Langkawi SkyCab, Imaginarium membawa pengunjung merasai pengalaman melalui laluan merentas masa yang merangkumi lima zon masa berbeza iaitu Zaman Jurasik, Tahun 1980, Tahun 2020, Tahun 3300 dan segmen ‘Lost in Time: Tahun X.’

Terdapat juga ruang khas untuk kanak-kanak apabila mereka dapat melukis dan mewarna watak imaginasi sendiri serta melihat watak berkenaan dianimasikan secara 3D di atas skrin selebar 9.1 meter. Semua itu boleh dilakukan di seksyen pameran Rainbow Alive, tarikan utama di Imaginarium Langkawi.

Satu lagi segmen yang tidak harus dilepaskan adalah Skyride VR, apabila pengunjung dapat menikmati pemandangan indah di keseluruhan gugusan kepulauan Langkawi dengan bantuan teknologi simulasi VR.

Skyride VR membawa pengunjung menerokai sudut terpencil di Langkawi yang biasanya tidak dapat dilalui walaupun dengan helikopter, sambil menyampaikan maklumat menarik berkenaan mitos dan fakta kepulauan Langkawi.

Pengarah Imaginarium Langkawi Sean Tan berkata, teknologi terkini selalu dipersalahkan dan dianggap sebagai alat yang merenggangkan hubungan.

Jadi, katanya dengan pembukaan Imaginarium Langkawi ini, pihaknya ingin membuktikan teknologi dan inovasi boleh membantu menjalin hubungan yang rapat sesama keluarga serta rakan jika ia direka dan digunakan dengan cara betul.

“Kami sangat teruja dengan pembukaan Imaginarium Langkawi ini kerana menjadi syarikat pertama yang membawa pengalaman ‘edutainment’ berkonsepkan Augmented Reality ke negara ini.

“Kami juga merancang untuk terus memperkenalkan tarikan baru di Imaginarium berdasarkan teknologi terkini yang timbul dari semasa ke semasa dan bercadang membuka Imaginarium berkonsep sama di Lembah Klang pada masa hadapan,” katanya.

Dibuka kepada orang ramai bermula 9 pagi hingga 7 malam setiap hari, harga tiket adalah RM20. Kanak-kanak di bawah ketinggian 120 sentimeter perlu ditemani penjaga.

Untuk maklumat lanjut, layari www.ilangkawi.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 11:05 AM