Skip this ad x
Mohammad Firdaus dibawa keluar dari mahkamah selepas menghadapi tiga pertuduhan. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Bekas operator kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menerima arahan daripada ahli kumpulan pengganas untuk melakukan perbuatan pengganas, tahun lalu.

Tertuduh, Mohammad Firdaus Abdullah, 27, faham akan pertuduhan itu, namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Noor Aisyah Ahmad.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima arahan daripada seorang ahli kumpulan pengganas Islamic States (IS) iaitu Muhammad Fudhail Omar, 25, melalui aplikasi sosial media Telegram atas nama 'Jengking Malaya' untuk melakukan perbuatan pengganas.

Bagi perbuatan didakwa dilakukan di No 19A, Jalan Padu, Tampoi Industrial Estate, Larkin di sini, antara jam 3.38 pagi hingga 3.50 pagi pada 26 Mac 2016 itu, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 130FA(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, tertuduh turut faham akan pertuduhan kedua iaitu memiliki 89 video dan sembilan keping imej berkait IS serta 34 video berkait Al-Qaeda (AQ) dalam sebuah cakera keras dan 64 gambar berkait IS serta dua gambar berkait AQ dalam sebuah telefon bimbit yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Padi Murni, Taman Muafakat Utama, Larkin di sini, kira-kira jam 6.50 petang pada 4 Ogos 2016.

Manakala, tertuduh didakwa bagi pertuduhan ketiga iaitu memiliki lapan keping imej dalam sebuah telefon bimbit yang mempunyai kaitan dengan kumpulan IS di Tingkat #04-12 Blok A, Jalan Suria Muafakat Utama, Taman Suria Muafakat Utama, Larkin di sini, antara jam 7.15 malam hingga 8.25 malam, 4 Ogos 2016.

Pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana item terbabit, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Unit Jenayah Berat, Mohd Izhanudin Alias, manakala tertuduh diwakili peguam Iskandar Shah Ibrahim yang menyebut bagi pihak peguam Rosli Ismail.

Ketiga-tiga kes tertuduh akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 1:28 PM