Zafor bersama adik perempuannya berusia 18 tahun dan adik lelaki 14 tahun di kem pelarian di Bangladesh. - Foto CNN
Aylan Kurdi yang terdampar di pantai Turki pada 2015 dan kanan, anak Rohingya, Mohammed Shohayet, terdampar di tebing Sungai Naf, semalam. - Foto Fail (AFP)/CNN
Agensi

Teknaf (Bangladesh): Namanya Mohammed Shohayet, anak Rohingnya yang baru berusia 16 bulan, bersama keluarganya yang melarikan diri ke Bangladesh bagi mengelak kekejaman anggota keselamatan Myanmar di Rakine namun kanak-kanak malang itu mati lemas ketika dalam perjalanan bersama ibu, bapa saudara dan abangnya yang berusia tiga tahun.

Bot yang dinaiki mereka karam ketika menyeberang Sungai Naf menuju Bangladesh dan mayat Mohammed Shohayet ditemui di tebing sungai, tersembam dalam lumpur seperti kanak-kanak pelarian Syria yang mayatnya terdampar di pantai Turki, Aylan Kurdi pada September 2015.

Konflik yang cuba ditinggalkan kedua-dua kanak-kanak itu berbeza, namun terdesaknya keluarga mereka melarikan diri adalah sama.

Keluarga Aylan mahu melarikan diri dari perang saudara di Syria manakala keluarga Shohayet mahu menyelamatkan nyawa daripada dibunuh pasukan keselamatan Myanmar yang mensasarkan etnik Rohingya - operasi pembersihan etnik yang dinafikan kerajaan Myanmar namun didakwa berlaku pertubuhan antarabangsa.

“Apabila melihat gambar itu, saya berasa seperti mahu mati, tiada gunanya lagi hidup di dunia ini,” kata bapanya, Zafor Alam, kepada CNN.

“Di kampung kami (di Rakhine), helikopter menembak kami selain tentera Myanmar di darat. Kami tidak boleh tinggal dalam rumah, melarikan diri bersembunyi dalam hutan.

“Datuk dan nenek saya dibakar hingga mati. Kampung kami sudah musnah dibakar tentera,” katanya.

Menurutnya, mereka berjalan selama enam hari, makan apa yang ada dan tidur bila berpeluang kerana perlu kerap berpindah lokasi bagi mengelak dikesan tentera yang memburu Rohingya.

Setiba di Sungai Naf yang memisahkan Myanmar dengan Bangladesh, Zafor berenang ke seberang sebelum diselamatkan nelayan Bangladesh yang membawanya ke negara itu.

Dia kemudian mencari bot untuk membawa keluarganya menyeberang sungai dan menelefon mereka pada 4 Disember lalu.

Hanya beberapa jam selepas panggilan telefon itu, keluarganya cuba menyeberang sungai namun polis Myanmar melepaskan tembakan dan tekong membawa semua orang masuk ke dalam bot menyebabkan ia melebihi muatan lalu karam.

Sehari kemudian seseorang menelefon Zafor memberitahu mayat anaknya sudah ditemui.

“Saya ingin memberitahu kepada dunia, kerajaan Myanmar tidak sepatutnya diberi masa lagi. Jika anda berlengah, mereka akan bunuh semua Rohingya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 4:34 PM