BERNAMA

Petaling Jaya: Akibat menumbuk mata tunangnya, seorang anggota polis bantuan sebuah universiti awam didenda RM1,500 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Azhar Mat Yusof, 33, selepas dia mengaku bersalah dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Audrey Anne Chua Wei Lian, 20, dengan menumbuk mata sebelah kanan wanita itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Blok 1-2-3, Pangsapuri Lagoon Perdana, Jalan PJS 9/1, Bandar Sunway, di sini, pada 4 pagi, 31 Disember tahun lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa ASP V. Nara memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

"Hukuman yang setimpal harus diberikan mengambil kira faktor tertuduh adalah anggota polis bantuan dan dia seharusnya lebih bijak mengawal emosi," katanya.

Azhar yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan masih menanggung dua anak di kampung dan sudah insaf serta tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 4:50 PM