AKSI Amy ketika di Kota Bharu.
AKSI Amy ketika di Kota Bharu.
GANDINGAN mantap gitaris abang dan adik, Din (kiri) bersama Kid tidak perlu dipertikaikan lagi.
GANDINGAN mantap gitaris abang dan adik, Din (kiri) bersama Kid tidak perlu dipertikaikan lagi.
PERSEMBAHAN di Alor Setar mengubat kerinduan peminat selama 25 tahun.
PERSEMBAHAN di Alor Setar mengubat kerinduan peminat selama 25 tahun.
SEARCH bergambar berlatar belakang penonton di Alor Setar.
SEARCH bergambar berlatar belakang penonton di Alor Setar.
Sharrul Rizal Hashim


Mengikut perancangan, Search sepatutnya meraikan ulang tahun ke-35 dengan mengadakan konsert berskala besar tahun lalu.

Namun, semua perancangan itu musnah akibat konflik yang melanda mereka.

Ketika itu, banyak khabar angin dan tohmahan yang mereka terima sehingga moral dan semangat Search yang kini dianggotai Amy (penyanyi), Nasir (bass), Din (gitar) dan Kid (gitar) jatuh sama sekali. Mereka dikecam netizen dan lebih malang terdapat segelintir peminat setia turut sama mengambil peluang mengutuk serta mempersoalkan kredibiliti mereka.

Apa yang pasti, selepas mengharungi perjuangan dalam bidang seni selama 35 tahun, tahun 2016 yang sepatutnya diraikan penuh gemilang akhirnya menjadi sejarah hitam buat empat sahabat ini.

Bagaimanapun, ketika peminat mereka masih dalam ‘mood’ kecewa berikutan konflik terbabit, Search tiba-tiba mengumumkan akan tampil dengan dua konsert khas di Kota Bharu, Kelantan dan Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

Paling menarik, konsert yang dibawa oleh Artist’s Colony dan Decode itu diadakan secara percuma!

Pemilihan lokasi di luar Lembah Klang menjadikan konsert ini ditunggu-tunggu peminat di kedua-dua negeri terbabit.

Kali terakhir Search mengadakan konsert di Kota Bharu pada tahun 2010, manakala konsert terakhir di Alor Setar kira-kira 25 tahun lalu.

Konsert percuma di dua lokasi itu menjadi tanda kebangkitan semula Search untuk meneruskan perjuangan sebagai ikon legenda rock Malaysia.

Seperti dijangka, lebih 2,000 penonton memenuhi ruang Grand Ballroom, Hotel Renaissance di Kota Bharu pada 24 Disember lalu, manakala lebih 3,000 penonton berasak-asak dalam konsert di Hotel Grand Alora, Alor Setar seminggu selepas itu.

Menurut Nasir, dia bersyukur kerana dalam tempoh 35 tahun Search terus diterima baik peminat daripada pelbagai peringkat umur.

Bagi Nasir, muzik sudah menjadi darah daging setiap anggota Search.

“Selepas sekian lama berjuang dalam industri muzik, akhirnya nama Search menjadi satu institusi dan jenama yang kukuh dalam arena muzik Malaysia, malah menjangkau ke peringkat serantau.

“Saya berharap band baru yang muncul dapat mengambil iktibar dan panduan apa yang sudah dilalui Search untuk terus berjuang dan mempertahankan irama muzik mereka,” katanya.

Nasir berkata, tiada jalan pintas untuk bertahan dan berjaya. Setiap artis perlu mencari identiti dan gaya tersendiri tanpa perlu meniru orang lain.

“Apa yang penting jadilah diri sendiri,” katanya.

Search ‘kemas’ di Kota Bharu

Seawal jam 7 malam, peminat sudah mula membanjiri pekarangan Hotel Renaissance di Kota Bharu sekali gus menunjukkan kehadiran Search sememangnya dinanti-nantikan.

Search muncul di pentas kira-kira jam 10 malam selepas persembahan Monoloque dan sebuah kumpulan buskers tempatan.

‘Intro’ lagu Langit & Bumi memadam keresahan penonton malam itu sebelum Search meneruskan momentum persembahan dengan lagu Pelesit Kota sekali gus menjadikan penonton semakin ‘menggila’!

Bezanya di Kota Bharu ialah Search tampil dengan pakaian agak kemas berbanding gaya ‘biasa’ mereka sebelum ini.

Selain itu, Search turut memainkan dua lagu daripada album solo Amy iaitu Tiada Lagi dan Kerja Gila.

Aksi diteruskan dengan Honky Tong Kosong sebelum disusuli dengan syahdu Rozana dan Gadisku. Seterusnya penonton terus berhibur dengan Paranoid, No Way!, Isabella, Gothik Malam Edan, Diari Habil dan Qabil, Isi Atau Kulit, Fantasia Bulan Madu dan pengakhiran konsert menerusi lagu wajib Search, Pawana.

Dengan 15 lagu pastinya orang Kota Bharu tersenyum puas. Malah, penonton turut datang dari Terengganu, Pahang dan Perak.

Kembali ke Alor Setar selepas 25 tahun

Ruang tepi Hotel Grand Alora, Alor Setar yang menempatkan khemah untuk mendapatkan pas masuk ke dewan konsert dipenuhi peminat sejak awal petang lagi.

Bukan saja dari Alor Setar dan Kedah, malah peminat Search dari Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Kuala Lumpur ‘turun’ ke Alor Setar semata-mata untuk menyaksikan persembahan Search.

Lebih-lebih lagi kali terakhir Search mengadakan konsert di bandar raya itu ialah 25 tahun lalu!

Turut membuat persembahan pada malam itu ialah Hujan, Hyper Act dan Bittersweet.

Search tampil di pentas ketika angka jam sudah menunjukkan hampir jam 12 tengah malam. Seperti di Kota Bharu, Langit & Bumi menjadi pembuka tirai dan disusuli dengan Pelesit Kota.

Tenaga dan aksi Search tetap sama seperti di Kota Bharu dan paling menjadi tumpuan sudah tentu kelibat Din dengan seluar bell bottomnya.

Seleksi pilihan lagu masih sama seperti di Kota Bharu, tapi dengan susunan yang sedikit berbeza. Cuma peminat di Alor Setar sedikit rugi apabila Search mendapat isyarat pada jam 1 pagi untuk menghentikan persembahan ketika solo Isabella dimainkan.

Namun, Search tetap ‘berdegil’ dan meneruskan aksi terakhir dengan Pawana sekali gus menamatkan persembahan 13 lagu mereka pada malam itu.

Search masih tiada tandingan

Aksi hebat Search dalam dua konsert ini membuktikan mereka masih tiada tandingan. Tenaga dan energetik Amy yang menjangkau usia 58 tahun merangsang persembahan dalam konsert berkenaan.

Sesekali Amy melakukan ‘stage diving’ ke atas penonton yang sentiasa memberikan sokongan.

Nasir di posisi bass pula sentiasa ‘cool’ dalam permainannya yang melengkapkan muzik Search.

Din pula antara figura penting dalam membentuk irama Search dan tidak pernah mengecewakan dengan riff dan aksi bertenaganya di atas pentas.

Sementara itu, Kid pula membuktikan dia masih berbisa walaupun masih ada suara sumbang yang terus membuat perbandingan dengan Hillary selaku pemain gitar asal Search.

Kid turut mantap menerusi ‘sound’ dan solo yang mencengkam.

Kehadiran Pae sebagai pemain dram undangan pula sangat bertepatan dengan muzik Search.

Pae cemerlang memikul tanggungjawab sebagai tukang pukul Search yang baharu, biarpun sekadar sebagai ‘pemain gantian’.

Secara keseluruhannya, dalam tempoh seminggu Search berjaya mengubat kerinduan peminat setia yang terus menyokong mereka.

Walaupun tampil dengan konsert percuma, namun apa yang dipersembahkan adalah eksklusif buat peminat.

Sudah tentu peminat menantikan sebuah konsert berskala besar daripada Search selepas ini.

Penulis sendiri tidak puas menonton persembahan mereka kerana banyak lagu kegemaran tidak dimainkan antaranya Purnama, Di Pintu Sepi, Melastik Ke Bintang, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Derap Komando, Pembakar Perasaan, Fenomena dan banyak lagi yang boleh menggegarkan pentas Search.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 9:16 AM