SIVASANGARI (kanan) atasi cabaran rakan senegara.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Empat wakil negara menghidupkan peluang untuk bergelar juara apabila mara ke separuh akhir kejohanan skuasy Terbuka Remaja British selepas hasrat Aifa Azman untuk mempertahankan gelaran kategori Bawah 15 Tahun yang dimenanginya tahun lalu tidak kesampaian.

Aifa yang beraksi dalam kategori B-17 kali ini tewas di tangan Elise Lazarus dari England 6-11, 10-12, 9-12 pada suku akhir.

Cabaran negara kini digalas S Sivasangari yang mengetuai saingan B-19 diikuti Jessica Keng dan Duncan Lee B-15 serta adik Aifa, Aira Azman B-13.

Beraksi menentang rakan senegara Andrea Lee, Sivasangari bagaimanapun diberi tentangan sengit sebelum menang 11-9, 11-5, 9-11, 11-7 dalam masa 45 minit sekali gus menghidupkan peluang menambah koleksi kejuaraan di Terbuka Remaja British selepas muncul juara B-15 pada 2014.

“Saya beraksi dengan baik hari ini. Tapi saya tahu perlawanan ini sukar kerana kami sudah lama tidak bertemu antara satu sama lain,” katanya.

Pemain berusia 17 tahun itu akan bertemu pilihan kelima dari Mesir, Zenia Mickawy yang mengejutkan pilihan kedua iaitu rakan senegaranya Amina Yousry 11-7, 11-6, 9-11, 6-11, 12-10.

“Menentang Zenia bukan mudah selepas melihat dia menewaskan Amina. Pastinya dia kini berada di prestasi terbaik,” kata Sivasangari dengan rekod pertemuan memihak kepada Zenia 1-0.

Sementara itu pemain dari Sabah, Jessica meneruskan aksi konsisten apabila berjaya menewaskan Nour Ibrahim dari Mesir 11-9, 11-4, 11-5 dalam tempoh 23 minit.

Selepas pilihan utama Marina Stefano dikejutkan di suku akhir, peluang Jessica untuk bergelar juara kini terbuka sekiranya dia berjaya menewaskan wakil Mesir, Farida Ahmed pada separuh akhir.

Bagi kategori B-13 Aira menempah tempat ke separuh akhir selepas menang ke atas pemain England Torrie Malik 12-10, 11-4, 11-7.

Manakala Duncan menewaskan pilihan kedua dari Mesir Karim El Barbary 10-12, 11-5, 12-10, 11-9 dalam masa 46 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 9:18 AM