FARDERIN (kiri) mahu terus aksi cemerlang.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Farderin Kadir tidak mahu kehadirannya dalam pasukan Negeri Sembilan sekadar menjadi pelengkap, sebaliknya mahu membuktikan mampu memberi impak positif sekali gus membantu merealisasikan impian memburu kejuaraan Liga Perdana musim ini.

Selepas membantu PKNS FC muncul naib juara liga musim lalu sekali gus melayakkan pasukan itu beraksi dalam Liga Super musim ini, pemain itu bertekad meneruskan sumbangan terbaiknya dengan memastikan Negeri Sembilan berupaya mengikut jejak pasukan lamanya itu.

Pemain berusia 29 tahun itu berkata, dia yakin dapat meneruskan aksi cemerlangnya bersama skuad Hoben Jang Hoben, biarpun baru dua hari mengikuti latihan di bawah kendalian ketua jurulatih Mohd Asri Ninggal.

Dia berjanji untuk membuktikan kemampuan sebenar dengan memberikan sumbangan terbaik sama ada dalam liga, Piala FA atau Piala Malaysia.

“Saya berazam memberikan sumbangan terbaik dan tidak akan menghampakan harapan tinggi pengurusan pasukan Negeri Sembilan untuk melakar kejayaan khususnya dalam saingan liga musim ini.

“Walaupun kedatangan saya ke sini berstatus pemain pinjaman tapi saya akan berjuang habis-habisan untuk memenuhi harapan pengurusan dan penyokong.

“Justeru, saya akan berusaha keras untuk mencapai tahap prestasi terbaik dan memastikan jentera serangan Negeri Sembilan lebih mantap sepanjang musim ini,” katanya semalam.

Farderin adalah pemain tempatan terbaru yang diserapkan dalam pasukan itu selepas PKNS berjaya mendapatkan khidmat bekas penyerang Johor Darul Ta’zim, Safee Sali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 9:35 AM