Abdul Hamid tiga dari kiri menunjukkan ketulan ganja yang dirampas. FOTO Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Polis menahan tiga suspek termasuk seorang wanita dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM182,790 dalam dua serbuan di sebuah apartmen di Jalan Sultan Ismail, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Abdul Hamid Mohd Ali berkata, serbuan pertama dilakukan pada jam 9.45 pagi dan pihaknya menahan pasangan berusia 34 serta 24 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap apartmen terbabit pihak polis merampas 12 ikatan Pil Eramin 5 (3,000 biji) seberat 600 gram, dua plastik lutsinar disyaki syabu (368 gram), 2 paket plastik disyaki heroin (6 gram), satu paket ketamin (4 gram) dan lapan biji pil kuda (2 gram).

"Hasil siasatan lanjut pasukan polis membuat pemeriksaan terhadap sebuah kereta model Proton Satria yang terletak di kawasan parkir apartmen terbabit menemui tiga beg plastik yang mengandungi 57 ketulan mampat disyaki ganja seberat 55,786 gram.

"Hasil soal siasat dilakukan, pihak polis membuat serbuan dan tangkapan terhadap seorang lagi suspek lelaki berusia 33 tahun di kawasan apartmen sama, kira-kira jam 9.30 malam.

"Pemeriksaan terhadap suspek tidak menemui barang salah tetapi semakan terhadap diri mendapati lelaki terbabit mempunyai enam rekod lampau membabitkan pelbagai kesalahan termasuk Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Hamid berkata, hasil serbuan itu pihaknya menyita wang tunai dan harta suspek berjumlah RM30,156.

Katanya, tiga suspek terbabit kini direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 3B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 12:05 PM