X
FOTO Reuters
FOTO Reuters
Saudi Gazette

Riyadh: Arab Saudi mengambil keputusan untuk menarik balik pengurangan kuota jemaah haji yang dikuatkuasakan lima tahun lalu.

Menurutnya, pihak berkuasa tertinggi negara itu meluluskan cadangan oleh Timbalan dan Menteri Dalam Negeri, Putera Muhammad Bin Naif yang juga pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Haji bagi mengembalikan kuota yang dilaksanakan sebelum pengurangan itu dikukatkuasakan.

Menteri Haji dan Umrah, Muhammad Bantan, semalam mengucapkan terima kasih kepada Raja Salman, Putera Mahkota Muhammad dan Timbalan Putera Mahkota Muhammad Salman kerana menarik balik pengurangan kuota untuk jemaah tempatan dan juga luar negara.

Menurutnya, pihak berkuasa berkaitan sudah membuat persiapan untuk menerima jumlah jemaah tambahan bagi musim haji akan datang.

Bantan berkata demikian ketika menerima kunjungan perwakilan haji dari negara Arab dan Islam di pejabatnya di Jeddah.

Pihak berkuasa Saudi sebelum ini mengenakan pengurangan kuota sebanyak 20 peratus terhadap jemaah asing dari setiap negara sementara jumlah penduduk tempatan yang melakukan ibadah itu dikurangkan kepada 50 peratus bagi memastikan keselamatan jemaah ketika kerja peluasan Masjidilharam, yang terbesar dalam sejarah, hampir siap.

Sehubungan itu, Putera Mahkota Muhammad meminta semua jabatan berkaitan bersiap sedia menerima jumlah jemaah yang lebih ramai untuk musim haji akan datang.

Dia mengarahkan misi haji diberi peluang untuk meningkatkan jumlah jemaah bagi mengembalikan kuota asal secara teratur.

Menurutnya, jumlah sebenar jemaah bagi setiap negara akan diputuskan oleh Kementerian Haji dan Umrah.

Berdasarkan sistem kuota yang dilaksanakan sebelum ini, setiap negara dibenarkan menghantar seorang jemaah haji bagi setiap penduduknya yang beragama Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 12:22 PM