TERTUDUH dibawah ke Mahkamah Majistret Teluk Datuk, Banting. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
TERTUDUH dibawah ke Mahkamah Majistret Teluk Datuk, Banting. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Iskandar Shah Mohamed


Banting: Sembilan awak-awak warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok di sini, hari ini, atas pertuduhan terbabit dalam pengimportan rokok dan arak tanpa kelulusan kastam membabitkan duti lebih RM16 juta di Pulau Carey, bulan lalu.

Semua tertuduh lelaki yang memiliki pasport itu adalah Purna Akbari Nasution, 27; Rusdianto, 46; Awaluddin, 54; Samsul Arifin, 39; Syaifah, 30; Diki Hardiansyah, 24; Ahmad Zaini, 38; Supriadi, 33, dan Ulung Nuansa, 25.

Mereka yang mengangguk faham akan pertuduhan bersama dibacakan jurubahasa mahkamah bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan di hadapan Majistret Marsilawati Mohamad Shah.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama dua individu yang masih bebas didakwa terbabit dalam pengimportan barangan tidak berkastam iaitu lebih 400,000 karton rokok dan arak selain 83 tong minuman keras lain membabitkan duti berjumlah RM16.49 juta yang belum dibuktikan dibayar.

Perbuatan itu dilakukan atas kapal MV Prelude di Jeti Bukit Gombak, Telok Panglima Garang, Kuala Langat, kira-kira jam 2.30 petang, 23 Disember lalu.

Justeru, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM Koh Joo Kai dan Abdul Rasyiddi Ab Drahman manakala semua tertuduh diwakili peguam bela S M Victor.

Tiada kos jaminan ditawarkan pendakwaan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Februari depan.

Pix Mohd Asri Saifuddin Mamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 3:29 PM