Anggota polis dibantu orang ramai mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke hospital. - Foto MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
Anggota polis dibantu orang ramai mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke hospital. - Foto MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
Nur Saliawati Salberi


Melaka: Seorang pelajar tingkatan lima maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta dan lori tiga tan di Jalan Sarang Helang, Bachang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang itu, mangsa yang berusia 17 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Tuah, menunggang motosikal Yamaha Sport dari arah Bachang menghala Batu Berendam.

Menurut sumber, setiba di lokasi, mangsa dipercayai tidak sempat mengelak sebuah kereta dari arah sama yang berhenti untuk masuk ke simpang sebelah kanan.

"Akibatnya mangsa terlanggar belakang kereta Proton Saga berkenaan sebelum bergesel dengan lori dari arah bertentangan

“Pelajar itu disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan akibat cedera parah di kepala," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 5:02 PM