MUHAMMAD Farkhan Haron mengasak Sheikh Kaseba dari UAE di Kejohanan Johor International Boxing 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim


PENINJU profesional negara, Muhammad Farkhan Haron, catat sejarah apabila memenangi tali pinggang Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia, di Johor Bahru malam tadi.

Ia bagi kategori ‘light heavyweight’ selepas menewaskan peninju Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Kaseba, dengan pukulan TKO, pada Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC) 2017.

Muhammad Farkhan menewaskan Kaseba pada minit kedua pusingan keempat walaupun diasak teruk pada dua pusingan pertama.

Kejayaan bersejarah itu lebih manis kerana diraikan hampir 3,000 penyokong di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.

Selain memenangi perlawanan di tempat sendiri, kejayaan menjadikan Muhammad Farkhan satu-satunya peninju negara memenangi dua tali pinggang bagi dua kategori kelas berbeza iaitu 'cruiserweight' dan 'light heavyweight'.

Tali Pinggang WBC Asia itu disampaikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Farkhan ketika ditemui berkata, kemenangan itu satu pencapaian baru dan membanggakan kerana mampu memenangi dua tali pinggang kategori berbeza.

"Saya dedikasikan kemenangan ini untuk rakyat Malaysia dan Johor," katanya selepas tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2017 @ 12:49 AM