BEBERAPA kenderaan terbakar selepas satu serangan bom di bandar Azaz, Syria yang terletak berhampiran sempadan Turki, semalam. - AFP
BEBERAPA kenderaan terbakar selepas satu serangan bom di bandar Azaz, Syria yang terletak berhampiran sempadan Turki, semalam. - AFP
AFP

Beirut: Sekurang-kurangnya 43 maut dan berpuluh lagi cedera semalam selepas bom yang dipasang pada sebuah lori tangki minyak meletup di bandar Azaz di Syria yang dikuasai kumpulan penentang berhampiran sempadan Turki.

Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia berkata, letupan itu berlaku di kawasan pasar di hadapan sebuah bangunan mahkamah.

Enam anggota penentang terbunuh dalam kejadian itu tetapi kebanyakan mangsa yang maut dipercayai orang awam.

Pengarah pemerhati, Rami Abdel Rahman memberitahu, proses mengenal pasti mangsa sukar kerana beberapa mayat rentung dalam letupan besar berkenaan.

Rakaman video di lokasi kejadian menunjukkan asap tebal menjulang di jalan raya yang penuh dengan sisa runtuhan bangunan dan rangka kenderaan.

Api dilihat masih marak membakar beberapa kenderaan dan anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran.

Anggota penyelamat yang dibantu orang ramai membersihkan sisa sebuah bangunan yang runtuh dan menghalang jalan.

Serangan itu bukan yang pertama di bandar kecil tetapi dianggap yang paling buruk pernah berlaku.

Kumpulan penentang menuduh serangan berkenaan didalangi militan Daish.

Anggota kumpulan militan itu berada di semua kawasan di wilayah Aleppo dan dipercayai mara ke Azaz sebelum ini.

Seorang peguam di Azaz, Osama al-Merhi menuding jari kepada kumpulan Daish.

“Jenayah seperti ini hanya dilakukan oleh kumpulan pengganas Daish.

“Hanya Daish yang menyasarkan orang awam dan mereka yang mahu membina semula negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2017 @ 5:12 AM