PENGERUSI RedONE yang juga Presiden Al Hamra Group Tan Sri Annuar Musa (tengah) ketika sidang media mengumumkan menjadi penaja utama kepada pasukan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) baru-baru ini. FOTO Bernama
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Tumpat: Pencarian pemain import pasukan The Red Warriors terpaksa dilakukan di saat akhir ekoran masalah dana yang dihadapi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Menurut penaja utamanya, Tan Sri Annuar Musa, perkara itu (pencarian import) tidak pernah berlaku di sebelum ini, namun ia berhasil baik apabila KAFA bakal menandatangani pemain import keempat.

"Oleh kerana saya khuatir TRW tanpa import pasti dibaham harimau (JDT I) di pijak gajah (Pahang) atau digonggong hantu merah (Selangor), maka kita cuba syor beberapa nama untuk ditimbang oleh Zahasmi Ismail (Ketua Jurulatih) di saat akhir.

"Saya tidak mengharapkan emas apabila hanya berbelanja untuk perak. Kali ini kita terpaksa menyenarai pendek pemain yang menawarkan harga 'mampu milik'", katanya dalam kenyataan dimuat naik di laman sosial Facebook miliknya, hari ini.

Beliau berkata, perbelanjaan pasukan TRW pada musim ini juga berjaya dikurangkan terutamanya dalam pembayaran gaji pemain import yang lebih rendah daripada beberapa pemain tempatan.

"Rata-rata 40 peratus hingga 50 peratus (gaji) lebih rendah daripada yang lazimnya kita bayar. Pertama kali pemain import kita lebih rendah dari sesetengah pemain lokal (tempatan) dan gaji jurulatih lebih rendah daripada gaji pemain.

"Saya cuma mampu membantu 70 peratus daripada bajet KAFA dan mereka perlu berjimat, potong bajet sebanyak 30 peratus serta mungkin menjadi pasukan Liga Super dengan bajet paling kecil," katanya.

Annuar yang juga bekas Presiden KAFA berkata, beliau tidak meletakkan sebarang sasaran dalam saingan musim ini, sebaliknya cukup untuk menyelamatkan TRW daripada terkubur.

Annuar turut menyindir sesetengah pihak yang mengatakan isu yang melanda KAFA adalah drama.

"Patutlah semua lari daripada drama kerana siapa yang memilih untuk menyertai drama perlu berhempas pulas cari dana puluh juta.

"Bagi sesetengah orang pula kononnya drama baru tamat sedangkan, bagi saya drama baru bermula, menjadi peminta sedekah moden menebalkan muka cari kawan untuk bantu pasukan kesayangan TRW.

"Biarlah kita terus berada di alam pilihan masing-masing lagi pun rasanya kita sudah cukup mengenali sesama kita, buat TRW dan KAFA teruslah kendong apa yang selama ini terbuang dan dengan izin Allah, anda masih boleh muncul terbilang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2017 @ 1:04 PM