Skip this ad x
Tan Yao Chun, 7, (depan) kelihatan ceria ketika hadir buat kali pertama ke alam persekolahan di SJK (C) Yit Min. Tan Yao Chun,7, tidak dapat mendaftar untuk bersekolah pada awal tahun ini kerana tidak mempunyai sijil kelahiran Malaysia. FOTO Azhar Ramli


Changlun: Kanak-kanak tanpa warganegara, Tan Yao Chun, 8, ceria memasuki tahun dua di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yit Min, di sini, hari ini, selepas gagal berbuat demikian tahun lalu apabila usianya genap tujuh tahun kerana tiada sijil kelahiran.

Ahad minggu lalu, dia hadir ke sekolah ini bersama neneknya, Rose Mary Chin, 77, namun hampa apabila dimaklumkan dia tidak dapat didaftarkan kerana masalah status kewarganegaraannya.

Yao Chun dilahirkan pada 29 Ogos 2009 di Hospital Hatyai, bapanya, Tan Meng Pun, 42, adalah warganegara Malaysia, manakala ibunya dari Myanmar.

Malangnya, bapanya gagal mendaftarkan kelahiran Yao Chun di Kedutaan Malaysia di Thailand dan menghilangkan diri menyebabkan ibunya menyerahkan dia kepada neneknya untuk dipelihara di rumanya di Taman Sayang, di sini.

Neneknya, cuba mendaftar Yao Chun dengan Jabatan Pendaftaran Negara tetapi permohonannya ditolak kerana sijil kelahiran kanak-kanak itu tidak didaftarkan di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand.

Walaupun pergi ke pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla neneknya tidak dapat melengkapkan proses permohonan itu kerana bapa kanak-kanak itu hilang pada masa itu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah kemudian campur tangan dan menjelaskan semua kanak-kanak di negeri itu berhak mendapat pendidikan sekolah rendah walaupun tidak memiliki sijil kelahiran seperti diputuskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kerajaan negeri juga bersetuju menyumbang pakaian seragam, peralatan menulis, dan buku serta bayaran yuran awal persekolahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2017 @ 1:10 PM