Keadaan motosikal mangsa dan kenderaan yang dirempuh BMW terbabas di persimpangan Jalan Tanah Putih - Jalan Wong Ah Jang, Kemunting, Kuantan, hari ini. - Foto Ihsan Pembaca
Keadaan motosikal mangsa dan kenderaan yang dirempuh BMW terbabas di persimpangan Jalan Tanah Putih - Jalan Wong Ah Jang, Kemunting, Kuantan, hari ini. - Foto Ihsan Pembaca
Shahrul Nizam Mohamad


Kuantan: Seorang penunggang motosikal yang berhenti di persimpangan lampu isyarat, terbunuh selepas motosikal Yamaha 125Z dinaikinya dirempuh kereta BMW yang dipercayai terbabas di Jalan Tanah Putih-Jalan Wong Ah Jang, Kemunting di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, Mohd Nazreen Bahari, 24, dari Kampung Jawa di sini, meninggal dunia di tempat Kejadian akibat kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, pemandu kereta itu, Goh Kah Chun, 44, berasal dari Indera Mahkota 1 di sini, dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, juga kerana cedera di kepala.

“Siasatan awal mendapati kereta dipandu Kah Chun menghala Gambang dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh mangsa yang berhenti di lampu isyarat merah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, selepas merempuh mangsa, kereta dipandu Kah Chun terbabas ke kiri jalan masuk ke dalam sebuah kedai kenderaan terpakai serta melanggar empat kereta iaitu Naza Bestari, Proton Gen2, Perodua Viva dan Honda Civic.

Katanya, polis akan mengambil sampel darah dan air kencing Kah Chun untuk ujian toksilogi Jabatan Kimia.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2017 @ 5:36 PM