THOMAS muncul pendahulu tunggal Kejohanan Juara-Juara PGA AS.
THOMAS muncul pendahulu tunggal Kejohanan Juara-Juara PGA AS.
AP

Los Angeles: Justin Thomas melakukan yang terbaik untuk mengelak daripada mengulangi permulaan hambar tahun lalu apabila mencatat enam bawah par 67 semalam untuk menjadi pendahulu tunggal Kejohanan Juara-Juara PGA AS.

Thomas kini mencatat keseluruhan 18 bawah par 201 selepas melakukan par 67 buat kali ketiga berturut-turut menjelang aksi final pada saingan di Plantation Course, Kapalua, Hawaii.

Pemain berusia 23 tahun dari Amerika Syarikat itu mempunyai kelebihan dua pukulan berbanding pesaing dari Jepun Hideki Matsuyama (66) yang sedang memburu kemenangan kelima dalam enam kejohanan terakhir.

Ditanya apa yang perlu dilakukan pada hari terakhir, Thomas berkata: “Saya tak pasti, itulah yang pasti kerana anda tidak tahu apa pula yang akan dilakukan pesaing lain.

“Bagi menjawab pertanyaan itu, saya hanya perlu turun beraksi dengan melakukan yang terbaik.”

Pendahulu bersama hari kedua, Ryan Moore terikat di kedudukan ketiga dengan 14 bawah par bersama Jimmy Walker dan William McGirt.

Pemain nombor satu dunia Jason Day dari Australia perlu bekerja keras apabila berkongsi kedudukan ke-13 dengan 10 bawah par selepas melakukan tiga bawah par 70.

Selepas bermula hambar awal tahun lalu apabila gagal melepasi cut di Terbuka Sony di Waialae, Hawaii dan di Cabaran Career Builder di La Quinta, California, Thomas dilihat cukup bersedia menghadapi saingan tahun ini.

“Saya mencari peluang untuk menang. Sebab itulah matlamat kita menyertai setiap kejohanan.

“Adalah amat baik apabila anda dapat meletakkan diri anda di kedudukan terbaik pada kejohanan pertama di awal tahun,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 5:05 AM