AFP

Madrid: Cristiano Ronaldo meraikan gelaran keempat Anugerah Ballon d’Or dan menjaringkan gol pertama di laman sendiri tahun ini untuk membantu Real Madrid menyamai rekod dengan Barcelona 39 perlawanan tanpa kalah selepas menumpaskan kelab kerdil, Granada 5-0 kelmarin.

Sevilla pula memintas Barca untuk kedudukan kedua liga, empat mata di belakang Real, selepas Wissam Ben Yedder meledak hatrik bagi membolehkan mereka menang besar 4-0 ke atas pasukan tangga keenam Real Sociedad manakala Atletico Madrid menang 2-0 di Eibar seterusnya melonjak ke tangga keempat.

Di Bernabeu, Ronaldo diberi penghormatan oleh pemenang Ballon d’Or sebelum ini termasuk Luis Figo, Ronaldo, Michael Owen dan jurulatihnya, Zinedine Zidane sebelum sepak mula.

Kecemerlangan Real sejak April tahun lalu berterusan apabila mereka berjaya menjaringkan gol sebanyak empat kali dalam 30 minit pertama.

Isco dan Karim Benzema mencetak nama sebagai penjaring gol melalui percubaan jarak dekat sebelum Ronaldo, yang direhatkan ketika Real menang 3-0 pada aksi Piala Raja Sepanyol bertemu Sevilla pertengahan minggu lalu, menanduk kencang hantaran lintang Marcelo.

Satu lagi penyudah mudah dari Isco membolehkan mereka memperoleh jaringan keempat sebelum rehat dan Casemiro menyudahkan sepakan percuma James Rodriguez untuk gol kelima pada babak kedua.

“Memang tidak ada had, tapi kami harus melakukan apa saja untuk kekal di atas,” kata Zidane berikutan prestasi memberangsangkan pasukannya.

Jurulatih kelahiran Perancis itu melakukan empat pertukaran berbanding ketika bertemu Sevilla, apabila Keylor Navas kembali mengawal gawang dan Ronaldo, Benzema serta Isco mengemudi bahagian serangan.

Sekali lagi Zidane berasa puas hati apabila ketiga-tiga tonggak serangan mampu menjaringkan gol.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 5:06 AM
Digital NSTP Subscribe