Mary Victoria Dass


Johor Bahru: “Saya bersedia untuk berlawan semula sekiranya dia mahu,” kata peninju profesional negara Muhammad Farkhan Haron, yang menumbangkan peninju dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Kaseba dengan pukulan TKO pada Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor 2017, kelmarin.

Farkhan mencatat sejarah baharu negara selepas memenangi tali pinggang Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia kategori light heavyweight pada kejohanan itu berkata, sekiranya perlu perlawanan ulangan berkenaan mungkin akan diadakan di kejohanan tinju antarabangsa OCBC Arena di Singapura pada 25 Mac ini.

Menurutnya, ia kerana dia menerima jemputan untuk menyertai kejohanan itu dan penganjur bersedia memberi ruang bagi perlawanan ulangan antaranya dan Kaseba.

“Kaseba akui kekalahannya namun pengurusnya tidak berpuas hati.

“Keputusan pengadil muktamad dan kita perlu hormat kerana selain menghakimi perlawanan pengadil juga menjaga keselamatan peninju.

“Apapun saya sentiasa bersedia berlawan dengan sesiapa pun termasuk yang mahukan perlawanan ulangan,” ujarnya.

Farkhan berkata, rasa tidak puas hati diungkit pengurus Kaseba kerana tempoh pengiraan yang diberikan kepada Kaseba.

“Selepas perlawanan semalam saya memang ada jumpa Kaseba dan dia memang memaklumkan kepada saya yang dia sudah tidak dapat menahan kesakitan selepas terkena pukulan pada hulu hati, tapi pengurusnya tidak berpuas hati dan saya tidak ada sebarang masalah jika ia dibuat semula.

“Bagi saya pengadil sudah melaksanakan tugasnya dengan betul kerana beliau bertugas untuk menjaga keselamatan peninju ketika pertarungan. Dalam perlawanan semalam pengadil ada membuat pengiraan dan Kaseba pun bangun lambat dan tidak bersedia jadi pengadil terus buat keputusan menghentikan perlawanan,” katanya pada sidang media semalam.

Hadir sama, peninju Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Kaseba dan pengurusnya, Shomari Ayoub Kimbau.

Sementara itu, Shomari berkata, tindakan pengadil salah dari segi peraturan perlawanan kerana Kaseba seharusnya diberi peluang kedua untuk bangkit dan meneruskan perlawanan.

Beliau berkata, terdapat tiga peraturan TKO, termasuk TKO pertama pengadil perlu mengira dari satu hingga 10 dan menanyakan sama ada peninju boleh meneruskan perlawanan ataupun tidak tetapi pada perlawanan semalam, pengadil tidak berbuat demikian dan terus menghentikan perlawanan.

“Kita akan adakan satu lagi perlawanan di UAE, sebelum perlawanan semula ini diadakan dan kali ini kami akan lebih bersedia kerana kami tidak takut kepada ‘Harimau Selatan’ itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 5:16 AM
FARKHAN (kiri) yang memenangi tali pinggang Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia bersama peninju UAE, Sheikh Kaseba (kanan) ketika sidang media di Johor Bahru.