FAIZ (kanan) bergambar dengan peminat yang menetap di Zurich. FOTO Aziman Rosdi
FAIZ (kanan) bergambar dengan peminat yang menetap di Zurich. FOTO Aziman Rosdi
MOHD Faiz Subri selamat tiba di Zurich. FOTO Aziman Rosdi
MOHD Faiz Subri selamat tiba di Zurich. FOTO Aziman Rosdi
Aziman Rosdi


Zurich (Switzerland): Finalis anugerah Puskas 2016, Mohd Faiz Subri tiba di Zurich, Switzerland, awal pagi tadi dengan membawa harapan menggunung jutaan rakyat Malaysia yang mahu melihat sejarah baru bola sepak tanah air dicipta di pentas antarabangsa.

Selepas menempuh hampir 14 jam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Zurich, pemain Pulau Pinang itu selamat tiba bersama isteri Norzawanis Hashim, 29, serta dua anaknya, Akif Fayyadh, 4, dan Muhammad Aqil Zayyan yang berusia lapan bulan.

Turut mengiringi Faiz ke Zurich bagi menghadiri majlis Anugerah Bolasepak FIFA 2016 adalah Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah.

Walaupun menempuh perjalanan jauh, Faiz cukup teruja apabila menjejakkan kaki buat kali pertama di bumi Zurich untuk bersama ramai bintang bola sepak dunia pada majlis anugerah bola sepak berprestij itu nanti.

"Alhamdulilah saya dan keluarga sudah selamat di sini, memang debaran amat terasa, dengan cuaca yang sangat sejuk, memang tak tahan, 'ketaq' (menggigil),” katanya berseloroh ketika ditemui media dari Malaysia.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Zurich, Faiz kemudian dibawa ke hotel penginapan di Kameha Grand Zurich oleh pegawai FIFA untuk berehat sebelum sesi temuramah dengan FIFA TV dan raptai pada sebelah pagi.

Majlis anugerah akan berlangsung pada 6.30 petang hari ini waktu tempatan (1.30 pagi esok waktu Malaysia).

"Memang jadual agak padat di sini, tapi pada saya ia bukan masalah," katanya.

Faiz, 29, melakar sejarah tersendiri selepas jaringannya ketika menewaskan Pahang 3-0 dalam aksi Liga Super, 16 Februari tahun lalu menarik perhatian seluruh dunia apabila berada dalam senarai akhir tiga gol terbaik 2016 untuk merebut anugerah Puskas.

Sepakan percuma yang dikatakan melanggar 'hukum fizik' apabila melencong menerjah ke gawang dilihat mempunyai peluang untuk merangkul anugerah berkenaan meskipun dicabar pemain Brazil Marlone dan Daniuska Rodriguez (Venezuela).

Pemenang anugerah ini bakal dikira menerusi undian penonton.

Video gol jaringan Faiz yang dimuatnaik oleh FIFA di YouTube menyaksikan jumlah tontonan 2,370,006 juta berbanding Marlone (1,478,372) dan Daniuska (1,160,920) sehingga petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 5:33 AM
Digital NSTP Subscribe