KIATISUK (kanan) bergambar bersama Bakri selepas final kedua Piala AFF.
Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my

Kangar: “Legenda bola sepak Thailand berguru di Malaysia”.

Itu ungkapan bekas pemain bola sepak kebangsaan Bakri Ibni selepas bekas anak didiknya yang juga Ketua Jurulatih Thailand, Kiatisuk Senamuang atau ‘Zico’ memeluk dan menciumnya ketika mereka terserempak di lobi Hotel Hilton, Petaling Jaya, selepas final Piala AFF Ahad lalu.

Thailand dinobatkan juara trofi berkenaan selepas menang agregat 4-3 biarpun tewas kepada Harimau Malaya 2-3 pada final kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bakri berkata, bergenang air matanya selepas anak didiknya itu berteriak memberitahu orang ramai bahawa dia adalah bapa dan gurunya.

Beliau terkejut dengan tindakan Kiatisuk yang meluru memeluknya seperti seorang anak sambil berkata ‘my father, my father’ di lobi hotel berkenaan yang dipenuhi orang ramai dan penyokong Thailand.

“Saya tidak sangka dia akan bertindak begitu selepas kami sudah lama tidak bertemu sebaik meninggalkan Liga Malaysia.

“Ketika dia bermain bersama Perlis, memang kami sangat rapat malah dia tidak ubah seperti anak serta murid saya ketika itu pada 1998,” kataya.

Menurut Bakri, beliau bertanggungjawab mencungkil bakat Kiatisuk sebelum membawanya beraksi bersama Perlis yang ketika itu dilatihnya.

Daripada pandangannya Kiatisuk seorang pemain berbakat besar dan menunjukkan disiplin tinggi ketika dalam dan luar padang.

Menjelang penghujung musim 1999 dia kemudian mendapat tawaran bermain bersama pasukan Huddersfield Town di London selepas meninggalkan Perlis.

“Dia ketika itu tidak fasih berbahasa Inggeris dan tidak mempunyai kenalan di Malaysia dan sering datang dan tinggal di rumah saya di Kampung Batu 5, Kuala Perlis.

“Masa itulah dia belajar bahasa Melayu dan Inggeris daripada saya,” cerita penyerang kebangsaan itu.

Menurutnya, selepas sekian lama terputus hubungan, beliau diberitahu oleh bekas pemainnya bahawa ‘Zico’ menginap di hotel Hilton Petaling Jaya.

“Mereka mahu bertemunya namun bimbang takut tidak dilayan dan mahu saya menemani mereka.

“Saya tidak beritahu mereka Kiatisuk bukanlah seorang yang sombong. Saya mahu mereka sendiri mengetahuinya.” Menurut Bakri mereka tiba di lobi hotel yang ketika itu dipenuhi penyokong serta media Thailand.

“Kira-kira jam 1 pagi selepas final, saya terlihat kelibat Zico di celah-celah pemainnya yang dikerumuni peminat.

“Sebaik sahaja dia terlihat saya, dia menjerit sebelum meluru ke arah saya sebelum memeluk dan mencium saya,” katanya.

Bakri berkata, tidak cukup dengan itu, dia berteriak kepada para penyokong dan pemainnya bahawa beliau adalah bapa dan gurunya.

“Tiada yang lebih membanggakan saya apabila dia yang sudah mempunyai nama besar di Thailand masih mengenang jasa saya.

“Saya beritahu saya bangga dengan pencapaiannya dan kami menghabiskan masa beberapa minit menceritakan kisah lama dan pengalamannya.

“Sedar bahawa dia diperlukan media dan penyokong Thailand, saya tidak mahu lama bersamanya.”

Kiatisuk kemudian menyuruh beberapa pemainnya menghantar saya dan keluarga ke kereta di luar hotel.

“Saya memang sebak terutama apabila mengenangkan Kiatisuk yang saya kenal hampir 20 tahun sudah bergelar wira bola sepak Thailand.

“Apa lagi dia masih mengenali saya sebagai bapa dan gurunya,” kata Bakri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 5:27 AM