Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Dua lagi lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang, dua tahun lalu.

Tertuduh, Law Koon Ding, 44, dan S Elango, 37, faham akan pertuduhan yang dihadapkan kepada mereka sejurus ia dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng 21 Japan di Wilayah Iskandar di sini, antara 18 Januari dan 19 Ogos 2015.

Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Kes berkenaan akan dibicarakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Chen Lee Lee dan hanya Law diwakili peguam Anwar Raos.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 1:56 PM
TERTUDUH dikawal ketat anggota polis ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin