Pengerusi redONE yang juga Presiden Al Hamra Group Tan Sri Annuar Musa (tengah) ketika mengumumkan menjadi penaja utama kepada pasukan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) melalui dua syarikat.
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Kota Bharu: Penaja utama pasukan Kelantan, Tan Sri Annuar Musa menamakan tiga pemain import yang akan mengisi kekosongan pasukan.

Katanya, tiga pemain terbabit adalah bekas pemain kebangsaan Lubnan, Mohammed Ghaddar, bekas pemain skuad Piala Dunia Cameroon, Cedric Djeugoue dan Okikiola Afolabi dari Nigeria.

"Rundingan terma kontrak pemain bersama kelab mereka sudah mencapai persetujuan dan selesai. Saya dan redONE bersedia membawa mereka dengan meletakkan tiga syarat sebelum diterima beraksi bersama pasukan.

"Syarat pertama, mereka perlu dipersetujui oleh ketua jurulatih, Zahasmi Ismail, kedua, mereka wajib lulus jalani ujian kecergasan yang ketat dan ketiga, mereka juga perlu lulus ujian kesihatan yang ketat," katanya menerusi entri terbaru Facebook miliknya, hari ini.

Beliau berkata, ketiga pemain terbabit sudah dipanggil untuk menjalani latihan dengan pasukan.

Katanya, pemain import itu akan menjalani ujian yang sudah ditetapkan oleh Zahasmi sebelum layak menyertai pasukan.

"Cedric, Okiki dan Ghaddar sudah dijemput untuk bertemu Zahasmi dan sekiranya mereka gagal patuh dengan syarat yang ditetapkan, kita ada lagi enam nama lain untuk dipilih.

"Saya bersama redONE menaja mereka bagi memperkuatkan pasukan The Red Warriors pada 2017 yang setakat kami mampu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 7:16 PM