GHADDAR (kiri) antara pemain import kegemaran penyokong Kelantan.
Azlan Hafeedz

Kota Bharu: Semakin jelas isyarat apabila penaja utama Tan Sri Annuar Musa mula memberi bayangan kuota keempat import Kelantan bakal diisi oleh bekas pemain yang pernah menempa nama bersama pasukan itu tiga tahun lalu.

Bayangan itu diberikan Annuar menerusi laman entrinya di Facebook yang membuktikan beliau sedia membawa kembali penyerang dari Lubnan, Mohammed Ghaddar, 33, bagi mengisi kuota pemain Asia.

Annuar ketika dipetik berkata, beliau meminta ketua jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail mengkaji formasi sekiranya Ghaddar digandingkan di barisan depan bersama penyerang muda import terbaharu berusia 23 tahun dari Nigeria.

Menurutnya, selain itu, Zahasmi juga mempunyai pilihan untuk menggandingkan Ghaddar dengan Nor Farhan Mohamad dan Indra Putra Mahayuddin.

“Piya (Badhri Radzi) dan Morgaro Gomis atau pemain lain mengawal alik (bahagian) belakang. Rak (Mampukah) pitah (memintas) anak rima (harimau), kalau mampu kita gomo (lawan).

“Yang pasti, saya sudah ‘gobek gadai’ (bergolok gadai) untuk bayar yuran drama (bayaran perpindahan pemain import) bagi memastikan Kelantan dapat melangkah lebih jauh,” katanya.

Akhbar ini melaporkan, dua import Afrika Selatan, bekas penyerang kebangsaan B-21 Nigeria, Okiki Afolabi, 23, dan bekas pertahanan Piala Dunia 2014 Cameroon, Cedric Djeugoue, 24, akan menyarung jersi Kelantan musim ini.

Ghaddar pernah beraksi bersama Kelantan pada 2012 dan 2014, selain pernah bermain dengan FELDA United pada 2013.

Beliau juga antara pemain digemari majoriti peminat TRW serta pernah mencipta sejarah bersama pasukan itu pada 2012 apabila menjulang tiga piala termasuk Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super.

Ketiga-tiga pemain import itu akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Blazhe Ilijoski, Jonathan McKain dan Wander Luiz yang ditamatkan kontrak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 9:29 AM