MAYER berucap di Pameran Elektronik Pengguna di Las Vegas pada 2014. FOTO Reuters
Reuters

San Francisco: Yahoo akan dinamakan Altaba Inc dan Ketua Pegawai Eksekutif, Marissa Mayer akan letak jawatan daripada lembaga pengarah selepas perjanjian jualan kepada Verizon Communications Inc dilaksanakan.

Dalam pernajnjian itu, Yahoo akan menjual perniagaan Internet terasnya termasuk pengiklanan digital, e-mail dan aset media kepada Verizon dengan harga AS$4.83 bilion (RM21.6 bilion).

Namun, syarat perjanjian boleh dipinda atau transaksi mungkin dibatalkan selepas Yahoo mendedahkan dua godaman data berasingan yang melibatkan kira-kira 500 juta akaun pelanggan bagi kejadian pertama dan lebih daripada satu bilion akaun dalam kejadian kedua.

Eksekutif Verizon berkata, walaupun mereka masih menganggap jualan itu sesuai dan stategik, godaman itu sedang disiasat.

Lima ahli lembaga pengarah lain turut akan letak jawatan, menurut Yahoo dalam makluman peraturan pada Isnin.

Ahli lembaga pengarah lain akan berkhidmat dengan Altaba, syarikat pemegangan dengan aset utama termasuk pegangan 15 peratus dalam syarikat e-dagang China, Alibaba Group Holding Ltd dan 35.5 peratus bagi Yahoo Jepun.

Syarikat baru itu turut mengumumkan Eric Brandt sebagai pengerusi lembaga pengarah berkuat kuasa semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 10:59 AM