PURI dalam filem The Hundred Foot Journey.
PURI dalam filem The Hundred Foot Journey.
PURI dalam filem Ghayal Once Again.
PURI dalam filem Ghayal Once Again.
OM PURI.
OM PURI.
Nor Akmar Samudin


Berita kematian aktor veteran Om Puri, 66, akibat serangan jantung di kediamannya di Mumbai, pada 6 Januari lalu mengejutkan rakan artis dan peminat.

Menurut laporan, Om pulang ke kediamannya di Lokhandwala’s Oakland Park usai tamat penggambaran filem pada petang Khamis lalu.

Keesokan paginya, pemandu Om menekan loceng pintu kediaman aktor itu tetapi tidak berjawab.

Berasa tidak sedap hati, pemandu itu berusaha membuka pintu itu dan mendapati Om sudah tidak bernyawa dan dibawa ke Hospital Cooper, Juhu, Mumbai untuk dibedah siasat.

Kehebatan lakonan Om setanding dengan rakan seangkatannya, Amitabh Bachchan, Naseeruddin Shah dan Anupham Kher. Bukan sahaja menempa nama di Bollywood, Om turut membintangi banyak filem di Pakistan, Britain dan Hollywood.

Sejak 1981 Om menerima pelbagai anugerah termasuk pengiktirafan tertinggi daripada kerajaan India untuk orang awam iaitu Anugerah Padma Shri (1990), Pencapaian Sepanjang Zaman (2009) dan Anugerah Pelakon Terbaik sebanyak dua kali pada Anugerah Filem Nasional India.

Pada 2004, Om dianugerahkan Order of the British Empire sempena sumbangannya kepada industri perfileman United Kingdom.

Sepanjang pembabitannya dalam arena lakonan, Om menjayakan lebih 50 filem di Bollywood dan pentas antarabangsa. Antara filem lakonannya adalah Dabangg, Bajrangi Bhaijaan, Ghayal Once Again, City of Joy, East Is East, Charlie Wilson’s War, The Reluctant Fundamentalist dan The Hundred Foot Journey.

Om mendapat latihan lakonan di Sekolah Kebangsaan Drama, Filem dan Televisyen, India.

Disember lalu, Om pernah menulis di Twitter dia tidak pernah menyesal mencanai bakat sebagai pelakon.

“Saya sudah melakukan yang terbaik untuk diri saya. Walaupun tidak kacak, saya dapat melakukannya dengan baik dan bangga dengan diri saya,” tulisnya.

Beralih sisi peribadi, Om pernah berkahwin dengan Seema Kapoor, adik kepada aktor Annu Kapoor pada 1991. Bagaimanapun, pasangan ini berpisah selepas lapan bulan hidup bersama. Dua tahun kemudian, Om berkahwin pula dengan wartawan Nandita Puri dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Ishaan.

Pada 2009, Nandita menulis biografi Om berjudul Unlike Hero: The Story Of Om Puri. Jodoh pasangan ini juga tidak panjang apabila mereka bercerai pada 2013.

Menurut laporan CNN, Anupam Kher menyifatkan Puri sahabat yang menakjubkan dan pembawa sinar kepada industri perfileman India.

Om juga dikenali sebagai insan seni yang versatil dan bakat lakonannya merentasi sempadan antarabangsa.

“Pada tahun 70-an dan 80-an, dikatakan hanya pelakon yang ada rupa paras menarik boleh menempa nama di Bollywood tetapi Om berjaya memecahkan ‘tradisi’ itu dengan bakat dan kerja kerasnya.

“Meskipun mengecapi populariti, Om tidak hanyut dengan gaya hidup penuh glamor. Malah dia kekal merendah diri dan tidak pernah berubah sikap,” kata Anupam.

Sementara itu, Naseeruddin yang kerap bergandingan dengan Om menegaskan kematian Om adalah kehilangan besar dalam hidupnya.

“Om aktor yang bijak dan sangat berbakat. Pemergian mendiang adalah satu kehilangan besar buat negara dan Bollywood. Moga rohnya aman di sana,” katanya.

Mengimbas kenangan bersama Om, Naseeruddin berkata, aktor itu tidak pernah teragak-agak melakonkan peranan kecil.

“Berkawan dengannya cukup menyenangkan. Kami sangat rapat dan saling memahami,” katanya.

Menerusi temu bual Daily News and Analysis (DNA), Naseeruddin menjelaskan meskipun berkawan rapat dia tidak pernah mencampuri urusan peribadi Om.

“Beberapa hari kebelakangan ini, Om banyak menderita dan tiada cara untuknya keluar daripada situasi itu.

“Sebagai kawan sudah tentu saya rasa kehilangan dan berharap mendiang tenang di sana,” katanya.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, turut menyampaikan ucapan takziah di atas kehilangan besar itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 11:50 AM