X
MOHD Sufian sering membuat pemantauan sarang.
MOHD Sufian sering membuat pemantauan sarang.
MOHD Sufian menunjukkan sijil serta madu kelulut.
MOHD Sufian menunjukkan sijil serta madu kelulut.
Ahmad Rabiul Zulkifli

Obses dengan madu kelulut yang mempunyai khasiat luar biasa membantu merawat pelbagai jenis penyakit mendorong Mohd Sufian Mat Noor, 40, menjalankan perniagaan menternak kelulut.

Biarpun masih baru dalam penternakan itu, dia sudah membuktikan kesungguhan dan minat hingga mampu meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM5,000 sebulan.

Mohd Sufian berkata, pada mulanya dia tidak berminat dengan kegiatan penternakan kelulut itu kerana menganggap ia cerewet dan tidak mendatangkan pulangan lumayan di samping sukar dipasarkan kerana permintaan terhad.

“Tanggapan awal terhadap perusahaan penternakan kelulut itu berubah sama sekali selepas saya menyahut cabaran seorang rakan dengan membela dua lot sarang di kawasan rumah.

“Ternyata penternakan kelulut itu tidak cerewet seperti yang dibayangkan malah ia sangat mudah dan senang berbanding menternak lebah atau penternakan haiwan ruminan.

“Saya tidak menyangka hasil daripada dua lot sarang kelulut yang diternak itu mendapat sambutan luar biasa. Saya kemudian menambah lapan lot sarang kelulut bagi memastikan pengeluaran madu dapat memenuhi permintaan,” katanya ketika ditemui di Kampung Pasir Panjang, Terengganu, baru-baru ini.

Memandangkan permintaan luar biasa yang diterima, dia tidak teragak-agak untuk menyewa dua tanah kosong di Kampung Pasir Panjang dan Kampung Bukit Bayas untuk menjalankan penternakan kelulut itu dengan lebih serius serta teratur.

“Saya kini memiliki 80 lot sarang kelulut yang mampu mengeluarkan 10 hingga 30 kilogram (kg) madu kelulut setiap bulan.

“Selain menjual madu kelulut dengan RM250 hingga RM350 sekilogram, saya turut menawarkan lot sarang kelulut dengan RM250 hingga RM600 satu lot bergantung kepada jenis lot sarang dan spesies kelulut kepada penternak lain,” katanya.

Sufian berkata, kelulut mempunyai beberapa spesies dan setiap daripadanya mempunyai keistimewaannya tersendiri.

“Lazimnya penternak menternak kelulut spesies Heterotrigona Itama kerana lot sarangnya lebih murah dan senang diperolehi sementara spesies istimewa, bersaiz besar serta mengeluarkan lebih banyak madu adalah spesies Geniotrigona thoracica selain Lepidotrigona terminata.

“Saya memiliki satu sarang kelulut Geniotrigona thoracica yang dibeli di Kelantan pada harga RM1,200 dan penghasilan madunya dua kali ganda lebih banyak berbanding kelulut biasa.

“Mungkin dalam tempoh terdekat saya bakal menambah jumlah lot sarang kelulut Geniotrigona thoracica kerana penghasilan madunya lebih banyak selain madu dihasilkan lebih berkualiti berbanding kelulut biasa,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Lebah Kelulut Terengganu (PELEKAT) Dr Nor Riah Mohamood berkata, hingga kini seramai 1,200 pengusaha kelulut berdaftar dengan PELEKAT di seluruh negeri dan mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 200kg madu sebulan.

“Jumlah penternak kelulut semakin meningkat dari semasa ke semasa sekali gus menunjukkan perkembangan positif perusahaan penternakan itu.

“Oleh itu, penternak baru disarankan supaya berdaftar dengan PELEKAT supaya mereka sentiasa dibantu dari sudut pemasaran madu dan pencerahan berkenaan ilmu terbaru penternakan kelulut itu.

“Difahamkan ramai pengusaha kelulut kecil-kecilan yang tidak mempunyai pasaran, dan PELEKAT bersedia membantu mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 1:47 PM