Junaidi Ladjana
am@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Penduduk di sekitar bandar raya, di sini, bergegas keluar ke kawasan selamat selepas berlaku gegaran selama 10 saat akibat gempa bumi kuat berukuran 7.3 skala Richter di Laut Sulawesi, jam 2.13 petang tadi.

Gempa yang berpusat di 466 kilometer (km) timur laut Semporna, turut dirasai di beberapa daerah di Sabah.

Bagaimanapun tiada sebarang kemusnahan atau kecederaan dilaporkan.

Seorang penjawat awam, Hasnah Dousin, 35, berkata, dia bersama 10 rakan sekerja bergegas keluar sebaik gegaran itu berlaku.

"Walaupun gegaran itu hanya beberapa saat namun cukup menakutkan. Ini adalah pengalaman kedua selepas 2015 susulan gempa di Kundasang, Ranau," katanya ketika ditemui, sebentar tadi.

Pekerja swasta, Siti Zanrah Matlan, 29, berkata, gegaran dirasai cukup membimbangkan kerana ketika kejadian dia bersendirian di pejabatnya di tingkat empat KK Times Square.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, gempa itu berpusat di Laut Sulawesi iaitu 466 km timur laut Semporna, Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 3:53 PM
Lebih 100 pekerja meninggalkan bangunan ibu pejabat Bank Simpanan Nasional selepas merasai gegaran akibat gempa bumi. FOTO Mohd Adam Arinin