BERNAMA

Petaling Jaya: Seorang pemilik butik barangan bayi yang membuat laporan polis palsu bahawa disamun RM16,000, hari ini dihukum penjara sebulan dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Faisal Bohari, 33, selepas dia mengaku bersalah memberikan maklumat lisan dan bertulis yang palsu mengenai kejadian samun terhadap dirinya yang tidak berlaku.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda.

Dalam laporan itu, dia mendakwa disamun dan kerugian wang tunai hampir RM16,000 dan satu telefon bimbit.

Dia dituduh mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan bagi kesalahan di Balai Polis Damansara, di sini, pada 12.21 tengah hari, 12 Disember tahun lalu, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada 11 Disember tahun lalu, tertuduh membuat laporan polis dia disamun menggunakan senjata pistol ketika dalam perjalanan dari rumahnya ke Damansara Perdana.

Ketika pihak polis melakukan siasatan dan rakaman percakapan, tertuduh akhirnya mengakui mereka-reka cerita kerana bimbang dimarahi isterinya yang akan mengetahui tabiatnya yang sering mabuk.

Dia kemudian mengakui duit tersebut hilang akibat kecuaiannya pada masa itu dalam keadaan separa sedar akibat mabuk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 5:51 PM