GAMBAR terakhir Azmi bersama isteri dan seorang cucunya yang diambil pada 3 Januari lalu. - FOTO Ihsan keluarga Azmi
GAMBAR terakhir Azmi bersama isteri dan seorang cucunya yang diambil pada 3 Januari lalu. - FOTO Ihsan keluarga Azmi
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Impian pengarah drama Azmi AB atau nama sebenarnya Azmi Abu Bakar, 51, untuk menganjurkan bengkel lakonan Februari ini, tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia ketika dalam tidur di Hospital Kuala Lumpur (HKL), jam 3 pagi tadi.

Anak sulungnya Elly Rosalinda, 28, berkata, Azmi yang mengalami masalah jantung, didapati sudah meninggal dunia oleh jururawat yang melakukan pemeriksaan rutin terhadapnya pagi semalam.

"Ayah dimasukkan ke HKL sejak 5 Januari lalu untuk mendapatkan rawatan. Ketika masih sihat, ayah aktif mengarah pelbagai drama antaranya Fatimah Juling, Dilema Wanita dan Sujud Pertama.

"Dia mula sakit sejak terbabit dengan drama Fatimah Juling dan sejak itu kerap berulang-alik seorang diri ke HKL untuk rawatan,” katanya.

Elly berkata, doktor mengesahkan kematian bapanya berpunca akibat komplikasi hati, buah pinggang dan paru-paru berair," katanya.

Elly turut memaklumkan bapanya pernah melahirkan rasa kecewa kerana semakin dipinggirkan dari dunia seni.

"Katanya, apabila banyak pengarah baru muncul, orang lama sepertinya seakan dilupakan. Inilah situasi yang dilaluinya," katanya.

Selain Elly, Azmi turut meninggalkan dua lagi anak iaitu Ezreen Nasuha, 24, dan Amirul Mukminin, 20, dan seorang balu, Rosnani Yusof, 54.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, di sini, sebelum Zuhur hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 6:43 PM