Tong berisi petrol yang dirampas dalam serbuan di Kampung Banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Tumpat: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merampas 22 tong berisi 660 liter petrol dalam serbuan di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Banjir, Pengkalan Kubor di sini, kira-kira 1 petang, hari ini.

Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan dibuat selepas Unit Risikan Marin (URM) melakukan intipan di kawasan itu.

"Sebelum itu, kita menerima maklumat awam mengatakan ada kegiatan mencurigakan dan ketika serbuan dibuat, terdapat sebuah Proton Iswara Aeroback ditinggalkan dengan pintu tidak berkunci.

"Hasil pemeriksaan menjumpai 22 tong berkapasiti 30 liter setiap satu yang berisi petrol.

"Ia dipercayai dalam perjalanan untuk diseludup keluar ke Thailand," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

Ahmad Amri berkata, kereta itu dirampas manakala pemiliknya tidak dapat dikesan.

"Anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM6,138 dan kes disiasat mengikut Seksyen 22 Akta Polis 1967," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai terutama dekat sempadan Kelantan - Thailand supaya aktif menyalurkan maklumat sekiranya melihat kegiatan mencurigakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 8:31 PM