Teksi dan barangan yang dirompak pemandu teksi terbabit. FOTO Ihsan Polis
Teksi dan barangan yang dirompak pemandu teksi terbabit. FOTO Ihsan Polis
Norizuan Shamsuddin


Petaling Jaya: Seorang pemandu teksi yang merompak penumpang warga Indonesia ditahan polis di sebuah apartmen di Jinjang Utara, Kepong, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, lelaki berusia 27 tahun terbabit ditahan menerusi satu serbuan dilakukan pasukan khas dari Balai Polis Kota Sri Damansara pada jam 10.30 pagi.

Katanya, serbuan dilakukan susulan hasil maklumat diberikan wanita warga Indonesia yang menjadi mangsa ketika menaiki teksi berkenaan bersama dua rakannya di Sri Damansara, pada 31 Disember lalu.

"Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, wanita berusia 40 tahun terbabit bersama dua rakannya menaiki teksi di Jalan Mahogani, Sri Damansara untuk ke Jusco Hypermarket di Kepong.

"Apabila tiba di hadapan Selayang Mall, suspek menghalau dua rakan mangsa keluar dari teksi dan memandu ke arah satu lokasi tidak diketahui mangsa sebelum memaksanya menyerahkan wang tunai RM1,950, Rupiah 300,000 dan barang kemas serta pasport.

"Sewaktu suspek berhenti di sebuah stesen minyak, mangsa mengambil kesempatan melarikan diri bersama kad pendaftaran pemandu teksi milik suspek dan meminta bantuan orang ramai menyebabkan pemandu terbabit melarikan diri dengan memecut kenderaan," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Zani berkata, susulan itu polis berjaya memberkas suspek dan menemui barang kemas dan pengenalan dipercayai milik mangsa.

Jelasnya, suspek kini ditahan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 10:16 AM