SYED ALI
SYED ALI
Nor Akmar Samudin

Skrip sudah dapat dan Syed Ali, 30, sudah melakukan pelbagai persiapan untuk melakonkan wataknya tetapi sebaik sahaja tiba di lokasi penggambaran drama di pantai timur tanah air, dia dilayan seperti pelakon tambahan dengan bayaran yang tidak setimpal.

Ia satu tamparan hebat buatnya kerana lebih 10 tahun dalam industri, dia dilayan sedemikian rupa.

“Pihak produksi kata saya hanya diperlukan untuk tambahan dialog saja. Bukan dekat jarak Kuala Lumpur dan Kelantan. Begitu cara mereka melayan saya atau dalam erti kata lain mereka sebenarnya tidak perlukan saya. Ia benar apabila ada pelakon yang menggantikan saya,” katanya.

Pernah juga berlaku namanya digugurkan stesen TV sehari sebelum penggambaran bermula.

“Apa salah saya kerana selama ini saya sudah buat sehabis baik? Pelbagai watak sudah saya jayakan. Nama saya seakan-akan tidak wujud lagi dalam bidang ini.

“Saya menjual bakat dan bukannya rupa. Nampaknya industri kita masih mengutamakan rupa, bertubuh sado dan bukannya bakat. Walaupun berlakon macam batang kayu, pelakon macam itulah yang laku sekarang.

“Saya tak minta banyak, cuma hargailah bakat saya. Selain itu, saya juga sudah lama tidak diundang menghadiri mana-mana majlis anugerah.

“Tiga bulan kebelakangan ini saya banyak dapat tawaran watak yang bagus tetapi saya tolak kerana sudah tawar hati.

“Biarlah saya menyendiri dulu. Memang serik kerana apabila pengarah mencadangkan nama kepada penerbit dan stesen TV, terus mereka gugurkan nama saya,” katanya.

Jelas Syed Ali, dia berjauh hati dan berasa sakit hati. Dia juga jarang mendapat publisiti dalam media massa.

“Peminat bertanya kenapa saya tiada cerita baru, apa saya nak jawab kerana kuasa bukannya di tangan saya.

“Mereka hanya menonton drama lakonan saya iaitu Cikgu Gangster yang disiarkan berulang kali di Astro Ria. Drama ini diterbitkan dua tahun lalu.

“Drama akhir lakonan saya yang belum disiarkan lagi adalah Aku Tak Sesat dan Cikgu Halim. Dalam kedua-dua drama itu saya bawa watak antagonis dan karakter saya yang paling jahat dapat dilihat dalam Aku Tak Sesat.

“Saya melakukan segala jenis jenayah seperti mengedar dadah, mencuri, menjual kambing dan memaksa anak dara orang berkahwin dengan saya kerana ibunya berhutang RM10,000 dengan saya.

“Saya banyak membawakan watak protagonis dan apabila diberikan watak gelap, ada kata ia tak sesuai dengan saya. Mungkin juga ramai tidak tahu saya boleh melakonkan watak komedi,” katanya.

Pemilik nama penuh Syed Ali Syed Mokhtar ini juga pernah muncul dalam kempen membasmi dadah apabila membawakan watak penagih sehingga penonton mengingatinya dengan karakter itu.

Dalam kehampaan dan kekecewaannya itu, Syed Ali ditawarkan pula mengacarakan 13 episod program travelog masakan yang rakaman dibuat di seluruh negara. Dengan semangat yang kembali membara, dia tidak sabar untuk melakukannya tetapi malangnya sekali lagi namanya ditolak.

“Sampaikan nak jadi pengacara pun stesen TV berkenaan tidak berikan saya peluang. Saya tidak pandai ‘mengipas’ dan membodek jika itulah kemahiran yang saya perlu ada untuk mendapatkan ‘kerja’.

“Jadi buat masa sekarang biarlah saya pujuk diri sendiri dulu. Kalau buat kerja dalam keadaan marah serta tak ikhlas, saya tak boleh fokus dan lakonan jadi tak bagus.

“Bagi melepaskan rindu, saya turun juga ke lokasi tetapi sebagai ‘cameo’. Dalam masa terdekat saya akan ke Pulau Pinang untuk penggambaran sehari bagi membantu produksi kawan.

“Mengenangkan nasib yang tidak menentu dalam bidang lakonan, saya dan rakan kini cuba berniaga. Jika suatu hari nanti tiada rezeki dalam bidang lakonan, setidak-tidaknya saya ada punca pendapatan lain,” katanya.

Hamun peminat

Baru-baru ini Syed Ali dikatakan memaki pengikutnya di Instagram sehingga ada yang mengkritik sikapnya itu tidak sepadan dengan watak alim dan baik yang dibawanya dalam drama.

“Saya sangat menghargai peminat dan pengikut dalam Instagram tetapi ada di antara mereka yang melampau. Apabila saya menjawab dan melayan pertanyaan mereka, ada yang mula melalut dan merepek.

“Jika kata-kata mereka yang melampau memanglah saya naik angin. Kadangkala situasi sebegini menjadikan saya serba salah. Namun, setiap tindakan saya bersebab.

“Kalau ada peminat mahu berjumpa saya di luar, lebih baik keluar beramai-ramai kerana ia dapat mengelakkan fitnah,” katanya.

Menurut Syed Ali, Instagramnya pernah digodam dan daripada 400,000 pengikut kini tinggal 88,000 saja. Mujur dia dapat semula akaun asalnya itu. Sesiapa yang mahu mengikut perkembangannya, boleh melayari Instagram Syedali_official.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 12:16 PM