AWI berduet dengan Elizabeth.
AWI berduet dengan Elizabeth.
PENYANYI Sakura Band Mell, gembira kumpulan itu turut diberi peluang membuat  persembahan.
PENYANYI Sakura Band Mell, gembira kumpulan itu turut diberi peluang membuat persembahan.
HAZIQ dan Haiza begitu bijak berceloteh bersama Aiman.
HAZIQ dan Haiza begitu bijak berceloteh bersama Aiman.
BARISAN finalis AJL31 turun padang mempromosikan anugerah itu.
BARISAN finalis AJL31 turun padang mempromosikan anugerah itu.
Georgie Joseph


Biarpun tanpa kehadiran penyanyi bernama besar, ‘showcase’ sempena Anugerah Juara Lagu 31 (AJL31) yang berlangsung di Boulevard, Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, baru-baru ini, dihadiri lebih 10,000 penonton.

Hakikatnya, kemunculan rata-rata artis baru yang memeriahkan acara itu benar-benar menggamatkan lokasi berkenaan.

Seawal jam 1 tengah hari, peminat sudah berpusu-pusu mahu bertemu secara dekat penyanyi idola mereka.

Dibarisi Elizabeth Tan, Awi Rafael, Aiman Tino, Sufian Suhaimi, Sakura Band dan Khalifah, acara bermula jam 2.30 petang itu ternyata dinantikan.

Ia terbukti apabila peminat begitu ‘sporting’ naik ke pentas untuk menyertai pelbagai permainan dijalankan.

Begitu juga keletah dua pengacaranya Haiza Kool FM dan Haziq Hot FM yang begitu bersemangat menjadikan acara lebih gamat.

Tidak dinafikan percaturan TV3 menampilkan barisan penyanyi terbabit adalah bijak.

Apatah lagi dalam meraih perhatian peminat generasi muda terhadap AJL yang juga acara muzikal paling dinantikan ramai.

Jika diikutkan, AJL menerima perhatian daripada segenap lapisan umur.

Bagaimanapun, dalam kalangan generasi muda sendiri mungkin tidak berapa menyedari anugerah berkenaan begitu besar impaknya dalam industri muzik.

Dengan penganjuran ‘showcase’ itu sendiri pastinya lebih membuka mata untuk mereka mengikuti kemuncak AJL31 pada 22 Januari nanti.

Melihat kepada sambutan pada ‘showcase’ berkenaan, Aiman dan Sufian ternyata paling digilai ramai. Penonton yang rata-rata golongan remaja sanggup tidak berganjak di depan pentas semata-mata mahu menonton dua pendatang baru itu.

Populariti dua penyanyi yang juga finalis AJL31 itu memang tidak boleh disangkal lagi. Barangkali kerana itu kehadiran mereka sudah cukup untuk menggamatkan ‘showcase’ itu.

Bukan saja peminat menjerit nama mereka, malah ada yang gigih ke belakang pentas untuk meminta autograf dan bergambar.

Tidak hairanlah kedua-duanya begitu digilai kerana mereka sangat mengutamakan peminat. Dapat dilihat pada cara layanan mereka apabila tidak menunjukkan rasa penat biarpun peminat tidak putus-putus mahu bergambar.

Ia sekali gus membuktikan kehadiran peminat dalam kalangan generasi muda itu pasti menjadi pembuka ruang kepada AJL sendiri diikuti generasi baru.

Namun, kehadiran Elizabeth dan Awi juga tidak patut dipinggirkan. Mereka berjaya menghiburkan penonton dengan nyanyian selamba sambil beramah mesra dengan peminat.

Tidak ketinggalan, Sakura Band yang sekadar layak ke peringkat separuh akhir AJL31, ia satu penghormatan dapat memeriahkan ‘showcase’ itu.

Menurut penyanyinya Mell, ruang diberikan itu sebenarnya satu kelebihan buat mereka.

“Dalam barisan penyanyi yang hadir, semuanya finalis kecuali kami. Ini peluang yang tidak harus dilepaskan apatah lagi ia membabitkan sesi bertemu peminat.

“Dapat turut serta dalam acara begini sememangnya sentiasa membuatkan kami teruja. Syukur, peminat pun begitu ‘sporting’ menyokong kami sewaktu di pentas,” katanya.

Biarpun sibuk dengan aktiviti nyanyian, Sufian tidak mahu mensia-siakan masa terluangnya.

Bagi penyanyi lagu Terakhir itu, inilah masa untuk dia mendekati peminat setianya.

“Kebetulan saya memang tidak ada apa-apa hari ini. Lantas, saya tidak mahu mensia-siakan peluang untuk turun padang dan menghiburkan semua yang hadir sebelum menjelang final AJL31 nanti.

“Ini sajalah masa untuk berbuat demikian kerana biasanya hanya dapat melayan mereka di media sosial. Sangat seronok rasanya dapat bersemuka dengan mereka depan-depan,” katanya.

‘Showcase’ AJL31 dianjurkan bagi mempromosikan lagu bertanding pada acara berlangsung 22 Januari itu kelak.

Antara agenda penting lain adalah mempromosikan peraduan #AJLLaguku dengan pemenang bakal mendapat tiket Tayangan Perdana Siaran Langsung AJL31 di Golden Screen Cinema (GSC), Dataran Pahlawan, Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 12:20 PM