Oleh Ikram Ismail

Kuala Lumpur: AirAsia Indonesia memberi jaminan akan sentiasa memberikan bantuan sokongan serta informasi terkini kepada Waris penumpang dan kru pesawat penerbangan QZ8501.

Menurut kenyataan terbaru AirAsia Indonesia, pengurusan bersama Gabenor Jawa Timur, Badan SAR Nasional Republik Indonesia (BASARNAS), Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Indonesia, Pengendali Lapangan Terbang (Angkasa Pura I) sudah bertemu dengan ahli keluarga di Surabaya, malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif, Sunu Widyatmoko, berkata pihaknya masih terkejut dengan kejadian itu.

"Kami memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkenaan bagi mengetahui punca insiden. Pada masa sama, keutamaan kami ialah memastikan para ahli keluarga penumpang dan kakitangan kami sentiasa disediakan dengan perkembangan terkini," katanya.

Sunu berkata, pihaknya juga sudah menghantar pasukan sokongan bagi menyediakan segala keperluan, termasuk penginapan dan persiapan perjalanan untuk waris.

"Pusat penerangan untuk waris juga disediakan di Surabaya dan di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 1:43 AM