UNDER Armour tampilkan pakaian sukan yang bukan saja selesa malah menepati keperluan si pemakai.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Bersenam bukan sekadar melakukan aktiviti fizikal untuk kecergasan keseluruhan tubuh. Bersenam juga bukan semata-mata memberi tumpuan kepada satu bahagian tubuh seperti pinggul atau perut yang lazimnya dijadikan sasaran dalam proses menurunkan berat badan.

Bersenam sebenarnya turut membantu menjana minda dan emosi yang lebih sihat, di samping membuatkan individu itu rasa lebih selesa dengan keadaan tubuhnya.

Namun, tidak ramai dalam kalangan kita yang menitikberatkan pakaian yang sesuai ketika bersenam atau bersukan. Biasanya baju-T, seluar longgar dan kasut sukan biasa sudah memadai dengan alasan ia mudah serta tidak memerlukan bajet yang tinggi.

Selain itu, ramai juga yang kurang mengambil berat dari segi pakaian dalam khususnya coli sukan yang dapat membantu menampung payudara dan bahagian belakang tubuh kala bersukan.

Hakikatnya, pemilihan pakaian yang sesuai ketika bersenam dan bersukan dapat membantu meningkatkan prestasi diri, sekali gus membuatkan tubuh rasa lebih selesa terutama apabila berpeluh serta dalam keadaan panas.

Seperti apa yang ditekankan Under Armour (UA), kesesuaian pemilihan pakaian tidak kiralah luaran atau dalaman perlu menjadi titik tumpuan sebelum melakukan aktiviti fizikal kerana sedikit sebanyak ia menentukan tahap kemampuan diri dalam melakukan satu-satu rutin senaman.

"Bagi atlet, pakaian yang sesuai dapat membantu mereka rasa lebih selesa, sekali gus membuatkan mereka beraksi dengan lebih baik.

"Untuk senaman pula, pakaian yang sesuai dapat membantu mengurangkan bahang panas dan rasa tidak selesa disebabkan peluh.

"Apabila kita bersukan dan bersenam dengan pakaian yang sesuai, ia pasti membantu memberikan hasil atau keputusan yang optimum," ujar Ketua Pegawai Eksekutif merangkap pengasas Triple Pte Ltd, Michael Binger.

Melihat koleksi pakaian sukan UA, semuanya dihasilkan dengan teknologi terkini yang boleh digunakan dalam semua keadaan.

Dipacu oleh visi memperkasa dan membantu meningkatkan prestasi atlet di seluruh dunia, UA kini muncul selaku jenama prestasi sukan global serta menjadi pilihan atlet bintang antaranya Michael Phelps (juara Olimpik), Misty Copeland (balerina) dan Stephen Curry (pemain bola keranjang NBA).

UA bermula pada 1996 oleh bekas atlet bola sepak Amerika dari Universiti Maryland, Kevin Plank yang tidak berpuas hati dengan pakaian sukannya.

Kebanyakan pakaian sukan di pasaran ketika itu tidak banyak membantu atlet bergerak dengan selesa, malah ada yang membuatkan pergerakannya terbatas.

Majoriti siluet UA ssama ada pada pakaian, seluar, kasut dan aksesori nampak ringkas namun boleh disifatkan ikonik, malah UA membuktikan padanan pakaian sukan juga boleh membuatkan seseorang tampil bergaya.

"Prinsip Under Armour mudah iaitu membantu meningkatkan prestasi si pemakai ketika melakukan aktiviti sukan. Under Armour bukanlah jenama fesyen atau pakaian sukan kasual kerana ia benar-benar pakaian sukan dan kami bangga apabila ia mula dijadikan padanan untuk gaya jalanan.

"Bagaimanapun, teknologi dan prestasi menjadi tanda aras Under Armour. Itu yang membuatkannya berbeza dan mara ke depan berbanding yang lain.

"Anda sama sekali tidak akan melihat helaian kapas biasa di UA kerana fabrik kapas kami dilengkapi dengan teknologi khas yang membuatkannya lebih dingin dan ringan," tambah Binger.

UA menawarkan barisan koleksi yang direka dengan teknologi termasuk fabrik menyerap peluh, tapak cengkaman pada kasut, material pemampat khusus untuk membantu pembentukan otot dan kalis air.

Koleksi tumpuan pastinya pada rangkaian HeatGear, ColdGear dan All Season Gear kerana ia dicipta bagi menepati keperluan pemakaiannya mengikut musim.

HeatGear membantu tubuh kekal dingin ketika cuaca panas, teknologi ColdGear pula membolehkan si pemakai rasa hangat ketika dalam cuaca dingin manakala All Season Gear adalah pertembungan antara dingin dan panas yang nyata sesuai untuk cuaca panas serta lembap di negara ini.

Selain di Suria KLCC, rangkaian pakaian sukan UA ini boleh didapati secara dalam talian menerusi www.underarmour.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:00 AM