SCHNEIDERLIN (kiri) hanya tampil lapan kali musim ini.

London: Manchester United bersetuju menjual pemain tengah Morgan Schneiderlin ke Everton dengan harga £22 juta (RM119 juta), lapor media Britain semalam.

Pemain kebangsaan Perancis berusia 27 tahun itu dibeli dari Southampton dengan harga £25 juta (RM135 juta) pada 2015, namun khidmatnya kurang diperlukan di bawah pengurus United Jose Mourinho, tampil hanya lapan kali musim ini.

Sky Sports melaporkan harga itu mungkin meningkat kepada £24 juta (RM130 juta) dengan beberapa tambahan.

Selepas United menang 2-0 ke atas Hull City pada separuh akhir pertama Piala Liga di Old Trafford, Mourinho berkata: “Sebelum perlawanan saya dimaklumka (Ed) Woodward (naib pengerusi eksekutif kelab itu) situasinya semakin hampir, jadi Morgan kemungkinan besar ke Everton.

“Saya sedih dan gembira, sedih kerana saya sukakannya dan dia boleh menjadi pilihan buat kami, gembira kerana inilah yang dimahukannya, bermain setiap perlawanan dan menjadi penting dalam pasukan.”

Berita itu hadir beberapa hari selepas pengurus Everton Ronald Koeman menggesa ahli lembaga pengarah kelab supaya menyokongnya dalam pasaran perpindahan selepas tersingkir daripada Piala FA di tangan Leicester City, Sabtu lalu.

Everton mensia-siakan pendahuluan satu gol di Goodison Park dengan dua gol penyerang Nigeria Ahmed Musa pada babak kedua cukup mencetus kekalahan 1-2 kelab Merseyside itu pada pusingan ketiga sekali gus kemungkinan satu musim lagi tanpa sebarang trofi.

Schneiderlin tidak berada dalam skuad United menentang Hull, awal pagi semalam. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 8:45 AM