Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Persaingan membabitkan atlet lompat tinggi negara semakin sengit apabila enam atlet dalam sukan itu ketika ini sudah mengesahkan tempat ke Sukan SEA 2017.

Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia pada 8 hingga 9 April ini bakal menjadi penentu siapa dua atlet bakal mengalas tugas acara itu.

Mereka yang sudah melepasi syarat kelayakan bagi kategori A adalah wakil negara ke temasya Olimpik Rio, Nauraj Singh (gambar) dengan ketinggian 2.29 meter, Lee Hup Wei (2.22m), K Prakash (2.15m), Mohd Syazwan Ahmad (2.14m), Norshafiee Mohd Shaqh (2.13m) dan Navin Raj (2.11m).

Pemenang tiga emas Sukan SEA, Hup Wei bagaimanapun optimis mampu memberi persembahan terbaik di kejohanan itu nanti sekali gus menjadi wakil negara ke temasya dwitahunan itu.

Hup Wei, 29, berkata dia kini sudah bersedia memberi cabaran dan berharap mampu melakarkan kejutan seterusnya memperbaiki catatan terbaik peribadinya 2.27m yang dilakukan di Terbuka China pada Mei 2008.

Pencapaian itu memecahkan rekod 13 tahun yang dipegang Loo Kum Zee.

“Jadi, peluang untuk layak itu tinggi. Tapi saya perlu berhati-hati dan cuba melakukan yang terbaik.

“Ketika ini jika mengikut ranking, saya berada di kedudukan kedua terbaik negara di belakang Nauraj dan pastinya Terbuka Malaysia nanti akan menjadi saingan sengit membabitkan semua atlet lompat tinggi negara,” kata Hup Wei.

Dia menegaskan sudah pasti tidak mahu melepaskan peluang beraksi di tanah air sendiri dan pastinya lebih manis sekiranya atlet negara menguasai kedudukan satu dua di Sukan SEA nanti.

Hup Wei yang juga pemenang emas Kejohanan Olahraga Asia 2007 berkata, sukan lompat tinggi semakin berkembang dengan saingan sengit membabitkan semua atlet.

Terbuka China pada Mei 2008 dan berjaya memecahkan rekod lompat tinggi berusia 13 tahun milik Loo Kum Zee.

Berdasarkan kedudukan ranking terbaik Asia Tenggara dikeluarkan semalam, tiga atlet negara membabitkan Nauraj, Hup Wei dan Syazwan menguasai carta kedudukan tertinggi Asia Tenggara.

Malaysia mula mendominasi acara itu sejak 1995 hingga 2003 sebelum Hup Wei meneruskan dominasi acara itu pada 2007 hingga 2011 dan Nauraj mengambil alih penguasaan pada 2013 dan 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 9:29 AM