KOH (kanan) menunjukkan alatan muzik yang dimainkan secara terbalik.
KOH (kanan) menunjukkan alatan muzik yang dimainkan secara terbalik.
PENGUNJUNG berjalan di atas laluan gantung Rainbow Skywalk yang berlantaikan kaca pada ketinggian 244.6 meter.
PENGUNJUNG berjalan di atas laluan gantung Rainbow Skywalk yang berlantaikan kaca pada ketinggian 244.6 meter.
PENGUNJUNG berjalan di atas laluan gantung Rainbow Skywalk yang berlantaikan kaca pada ketinggian 244.6 meter.
PENGUNJUNG berjalan di atas laluan gantung Rainbow Skywalk yang berlantaikan kaca pada ketinggian 244.6 meter.
Zuhainy Zulkiffli


Pengalaman berjalan di laluan gantung berlantaikan kaca pada ketinggian 244.6 meter dari aras laut memang mengujakan dan mungkin menguji adrenalina individu yang gayat.

Tarikan baharu dinamakan Rainbow Skywalk itu kini didapati di taman tema tertutup, The Top di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di Georgetown, Pulau Pinang.

Laluan kaca berkenaan terletak di tingkat 68 iaitu di bahagian paling atas Komtar yang membolehkan pengunjung melihat pemandangan indah sebahagian pulau dan Seberang Perai.

Rainbow Skywalk berukuran 16 meter (m) panjang dan berdiameter 5.5m menjadikan ia antara yang terpanjang di negara ini.

Bagi mereka yang sukakan cabaran, laluan berkenaan tidak menjadi masalah, malah teruja apabila bangunan dan kenderaan yang terdapat di bawah kelihatan kecil.

Sementara individu yang gayat ketinggian, inilah masanya menguji keberanian dan mencipta keseronokan apabila berada di tempat tinggi.

Pada masa sama pengalaman berada pada ketinggian itu paling berharga apabila dapat melihat bangunan tinggalan zaman kolonial tersusun cantik selain pemandangan laut serta Bukit Bendera yang menghijau.

Di satu sisi lain kelihatan pembangunan pesat dijalankan seperti pembinaan bangunan dan kerja tambakan laut yang bakal merubah wajah pulau mutiara itu tidak lama lagi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Only World Group (OWG) Datuk Koh Cheng Keong, kira-kira RM200 juta digunakan bagi menjenamakan semula kompleks berkenaan dan ia dirasmikan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz, baru-baru ini.

Koh berkata, The Top diketengahkan untuk semua lapisan umur sama ada berkeluarga atau berpasangan selain tarikan bukan hanya di tingkat 68, malah menerusi tingkat 65 terdapat menara tinjau yang membolehkan pengunjung menikmati pemandangan sama seperti di Rainbow Skywalk.

“Bagi yang gemar menyaksikan matahari terbenam dan pemandangan tertentu seperti sambutan perayaan, inilah tempatnya.

“Acara pertama diadakan di The Top adalah sambutan kiraan detik menjelang Krismas dan tahun baru 2017 di Rainbow Skywalk dengan mempamerkan permainan laser serta lampu dari aras lantai hingga ke tingkat atas,” katanya.

Selepas acara berkenaan, The Top dijangka bakal mengadakan lebih banyak acara sambutan supaya orang ramai dapat merasai kelainan dengan sambutan di ‘langit biru.’

“Semua keriangan ada di bawah satu bangunan dan itulah fokus utama The Top supaya pengunjung dapat menikmati masa yang berkualiti bersama orang tersayang.

“Bayaran masuk dikenakan berbaloi dengan pengalaman yang diteroka pengunjung dan diharap taman tema tertutup ini berupaya mengembalikan semula zaman kegemilangan Komtar,” katanya.

Antara tarikan lain adalah taman tema Jurassic Research Center yang membolehkan peminat haiwan prasejarah terutama kanak-kanak merasai pengalaman bersiar-siar bersama kawanan 200 dinosaur bergerak menggunakan teknologi ‘animatronics.’

Di Ocean Explorer pula, pengunjung boleh menyaksikan misteri laut dan kehidupan marin dengan imej resolusi tinggi sementara di 7D Discovery Motion Theater pula terdapat paparan ‘virtual reality’ menggunakan simulator teknologi terkini dengan dimensi serta perspektif baharu mengagumkan.

Begitu juga Tech Dome Penang (TDP) yang mempunyai 120 pameran interaktif di ruang seluas 40,000 kaki persegi dan boleh dicuba serta diteroka pengunjung khususnya peminat dunia sains dan teknologi.

TDP mempunyai beberapa ruang galeri iaitu Informasi Teknologi, Life Tech, Robotics, Optics dan Force and Motion yang turut dikenali sebagai Zon Penerokaan Kanak-Kanak Prasekolah dan Penang’s Transformation Story selain balai cerap astronomi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2017 @ 12:43 PM