ANGGOTA polis unit LSF wanita menunjukkan demonstrasi menangani rusuhan. FOTO Adzlan Sidek
ANGGOTA polis unit LSF wanita menunjukkan demonstrasi menangani rusuhan. FOTO Adzlan Sidek
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: TUJUH puluh tiga anggota polis wanita menamatkan Kursus Asas Light Strike Force (LSF) bagi membolehkan sembilan unit LSF wanita ditubuhkan di negeri ini, hari ini.

Penubuhan unit LSF wanita itu bertujuan menangani masalah membabitkan ketenteraman awam.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, unit LSF wanita dapat membantu anggota unit Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) menangani rusuhan membabitkan perusuh wanita.

"Setakat ini, kita sudah mempunyai 19 unit LSF lelaki dan sembilan unit LSF wanita yang baru ditubuhkan itu akan bersama-sama menangani isu ketenteraman awam.

"Kita mensasarkan untuk mempunyai sekurang-kurangnya satu unit LSF di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah, sehingga akhir tahun ini. Sekiranya kontinjen negeri lain memerlukan bantuan untuk menghadapi rusuhan, kita sentiasa bersedia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan LSF Wanita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Menurutnya, polis sentiasa bersiap sedia dalam apa jua kemungkinan yang berlaku termasuk menangani isu demonstrasi jalan dan perhimpunan haram.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 1:53 PM