Orang ramai melihat operasi mencari Lelaki dipercayai pengedar dadah yang dikhuatiri lemas selepas terjun ke dalam sungai di Kampung Bekok, Hulu Besut dan dadah yang ditemui di dalam kereta lelaki itu. FOTO Mohammad Ishak
Mohammad Ishak


Jertih: Lelaki dipercayai pengedar dadah dikhuatiri lemas selepas terjun ke dalam sungai di Kampung Bekok, Hulu Besut, dekat sini, jam 5.20 petang tadi bagi mengelak ditahan polis.

Lelaki berusia 28 tahun itu menjadi buruan polis kerana dipercayai terbabit dalam kes dadah cuba melarikan diri selepas terserempak dengan anggota polis yang sedang membuat rondaan di kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, lelaki itu memecut laju kereta Perodua Axia dipandunya selepas terserempak dengan kereta peronda polis sebelum keretanya terbabas ke kanan jalan.

"Polis mendekati kereta lelaki itu tetapi dia berjaya melarikan diri sebelum terjun ke dalam sungai berkenaan untuk mengelak ditahan polis.

"Berikutan kejadian itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dipanggil untuk membantu mencarilelaki itu," katanya.

Mohd Zamri berkata, gerakan mencari dan menyelamat mangsa terpaksa ditangguhkan jam 7 malam tadi dan akan disambung esok.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam kereta milik lelaki itu menemui enam plastik biru yang setiap satu mengandungi 200 biji pil kemerahan dipercayai dadah jenis methamphetamine yang kesemuanya berjumlah 1,200 biji dan sembilan tiub dadah jenis syabu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 10:18 PM