KALI pertama hasilkan filem bajet rendah.
ANTARA babak dalam filem Cerita Hantu Malaysia.
ANTARA babak dalam filem Cerita Hantu Malaysia.
PIERRE (kiri) bersama barisan pelakon filem Cerita Hantu Malaysia pada majlis pratonton, baru-baru ini.
Oleh Norhayati Nordin

Pernah membina nama sebagai pelakon, kini Pierre Andre nampaknya lebih selesa berkarya di belakang tabir. Satu persatu filem dihasilkannya tanpa jemu.

Meskipun menyedari pasaran filem Melayu kini di ambang merudum, namun ia tidak pernah membuat Pierre patah semangat. Baginya selagi ada ilham dan peluang, dia akan terus berkarya.

Ditambah lagi dengan namanya yang cukup sinonim menghasilkan filem seram, kini Pierre atau nama sebenar Mohd Pierre Andre Nazarul Andre muncul dengan karya baru, Cerita Hantu Malaysia.

Karya seram bergenre 'omnibus' yang memaparkan tiga ke empat kisah dimuatkan menjadi satu pakej filem itu diakui Pierre, 29, adalah julung kali dihasilkan.

Menjadikan filem seram dari luar negara sebagai rujukannya, Pierre berkata, genre 'omnibus' ini begitu dikenali dalam penghasilan kebanyakan filem seram di Thailand.

"Terus terang saya katakan agak teruja mahu menghasilkan filem Cerita Hantu Malaysia ini kerana saya cuba mengetengahkan elemen baru. Buat diri saya, ini kali pertama saya memuatkan tiga cerita dalam satu filem yang di antara kejadiannya ada hubung kait.

"Bahkan, saya memilih judul Cerita Hantu Malaysia ini kerana yakin kebanyakan daripada kita dalam masyarakat Melayu pernah bercerita atau mendengar kisah berkaitan hantu," katanya.

Sekadar mahu masyarakat mengenang kembali memori lalu, mereka terhadap cerita hantu yang mungkin pernah diketahui suatu ketika dulu, Pierre juga mengakui filem itu dihasilkan dalam bajet rendah.

Filem Cerita Hantu Malaysia yang menemui penonton di seluruh pawagam tanah air sejak Khamis lalu, membariskan barisan pelakon pilihan Pierre iaitu Kamal Adli, Leez Rosli, Kamarul Yusoff, Wan Ellyas, Mikail Andre, Adam Shah ­dan Rahim Omar.

Pindah hantu guna bas

Jika sebelum ini kebanyakan filem dihasilkan Pierre membabitkan kos besar iaitu melebihi RM1 juta, namun kini anak sulung dramatis Khatijah Tan itu cuba berkarya dengan bajet rendah.

Memberi jaminan filem dihasilkan tetap memfokuskan kualiti, Pierre berkata sebagai pengarah dia cukup berpuas hati dengan komitmen diberikan barisan pelakon pilihannya.

Berbicara lanjut soal kos pembikinan filem itu, Pierre berkata, dia tidak memiliki bajet kewangan besar, tetapi begitu bersemangat untuk terus berkarya.

"Jadi, saya tebalkan muka berbincang dengan semua pelakon dipilih ini untuk bertanya sama ada mereka sudi bekerjasama dalam filem Cerita Hantu Malaysia berkenaan.

"Maklum saja, dengan kos yang tidak besar, saya akui tak mampu membayar pelakon dengan jumlah yang bagus untuk mereka terima hasil lakonan berkesan dipersembahkan.

"Syukur mereka memahami hasrat saya dan bersetuju bekerjasama tanpa mengambil kira jumlah bayaran sepatutnya mereka terima. Oleh itu, saya amat berterima kasih," katanya.

Cukup kagum dengan lakonan barisan pelakonnya, Pierre berkata, dia paling tidak sangka dengan persembahan lakonan Leez Rosli.

Katanya, Leez yang melakonkan watak Rose, seorang wanita dirasuk mampu membuatkan penonton berasa seram hanya menerusi gerak bahasa tubuh dan cara pandangan tanpa perlu berdialog.

Sehubungan itu, perjalanan kisah Cerita Hantu Malaysia dimulakan dengan Aki (Kamarul Yusoff) iaitu seorang pengawal keselamatan di sekolah berasrama yang menggantikan rakannya bekerja waktu malam.

Aki yang tidak mempercayai kewujudan hantu di sekolah itu diganggu beberapa kejadian yang tidak diduganya.

Apakah nasib Aki sama ada dia terselamat atau menjadi mangsa roh tidak tenang yang berada di sokolah itu?

Kesinambungan cerita diteruskan pula dengan kisah seorang ustaz berusaha menghalau dan membuang roh yang berkeliaran. Ustaz itu akhirnya menyewa sebuah bas dipandu Saad (Kamal Adli) bagi urusan perpindahan ke hutan.

Mampukah urusan perpindahan itu berjalan lancar? Selain itu, dipaparkan juga kisah empat sahabat iaitu Jo, Mansur, Akim dan Rose yang sesat dalam perjalanan.

Mereka yang dalam perjalanan ke rumah seorang dukun untuk berubat, bagaimanapun dikejutkan dengan keadaan Rose tiba-tiba dirasuk? Adakah empat sahabat ini akan terselamat?

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:03 AM