BLOODSHED 2017 dianggotai (dari kanan) Said Hashim, Hamdan Ahmad, Hatta dan Hamdan Yusof. Turut bersama dalam gambar ialah Rosdan (dua dari kiri) dan Rozz (kiri).
KETIKA muncul dengan album sulung pada 1987 (dari kiri), Hamdan Ahmad, Rosdan, Rawita, Hamdan Yusof dan Judy.
Payatt
riadz@hmetro.com.my


Apabila bercerita mengenai sejarah muzik rock tanah air, nama Bloodshed tidak boleh dipinggirkan.

Band rock yang ditubuhkan di Kajang, Selangor ini antara perintis kepada era kegemilangan muzik rock tempatan pada pertengahan 1980-an dulu.

Mereka bersama empat lagi band iaitu Lefthanded, SYJ, Rahim Maarof & Whitesteel dan Ella & The Boys tampil dengan album kompilasi Battle of the Bands (BOTB) I serta II pada 1986 yang mencetus kebangkitan muzik rock ketika itu.

Selain album, BOTB terlebih dulu mencetus kegilaan anak muda ketika itu dengan konsert jelajah ke seluruh negara.

Mungkin populariti mereka tidak sehebat Search, Wings dan Lefthanded, tetapi Bloodshed tetap dalam kelas tersendiri.

Siapa boleh lupakan lagu Srikandi Cintaku dan Samarkand yang menjadi ‘evergreen’ hingga hari ini?

Begitu juga dengan lagu dalam album sulung mereka, Ilusi Sebuah Mimpi seperti Nostalgia Rindu, Manusia & Janji, Fesyen serta lagu daripada album kompilasi BOTB seperti Hidup Pemuzik dan Debu Khayalan.

Bermula dengan anggota seperti Rosdan (penyanyi), Hamdan Yusof (gitar), Rawita (bass), Hamdan Ahmad (dram) dan Judy (keyboard), Bloodshed mula dikenali di seluruh negara ketika tampil dalam BOTB.

Bagaimanapun, selepas menghasilkan album sulung pada 1987, Hamdan Yusof meninggalkan Bloodshed dan digantikan pemain gitar berbakat besar iaitu Opie.

Populariti Bloodshed memuncak menerusi album kedua berjudul Samarkand yang diterbitkan Datuk M Nasir pada 1988.

Lagu Srikandi Cintaku ciptaan M Nasir dan lirik Nasir Jani yang dimuatkan dalam album ini menjadikan Bloodshed sebagai ‘rockstar’ apabila ia menawan hampir semua carta lagu tempatan selama berbulan-bulan lamanya!

Baru-baru ini, penulis berpeluang menemu bual Rosdan dan Opie yang sudi berkongsi pengalaman mereka dengan lagu ‘evergreen’ itu.

“Sebenarnya single pertama album itu ialah Panah Arjuna, tetapi Srikandi Cintaku pula yang meletup. Ia juga ambil masa yang agak lama untuk popular iaitu hampir enam bulan,” kata Opie.

Menurut Rosdan, ketika album Samarkand mula dipasarkan, dia dikritik wartawan yang mengatakan vokalnya lemah dan lembik.

“Waktu itu M Nasir popular dengan album-album rock terbitannya untuk Search dan Wings, namun apabila dia terbitkan album Bloodshed, mereka (wartawan) kata ia album terbitannya yang paling tidak berkualiti.

“Saya pun tak tahu nak kata apa. Ketika rakaman, saya juga kerap dimarahi M Nasir kerana vokal saya dikatakan lembik dan tak seperti penyanyi rock,” katanya.

Bercerita mengenai proses penciptaan lagu itu, Opie berkata, M Nasir hanya memberikan mereka melodi asas menggunakan suaranya saja.

“Dia tak gunakan gitar atau piano pun. Melodi hanya terhasil menerusi suaranya. Kamilah yang menggubah dan menghasilkan muzik lagu itu hingga ia menjadi seperti yang anda dengar hari ini,” katanya.

Hatta Junction kini penyanyi Bloodshed

Selepas album ketiga berjudul Villa Misteri apabila mereka turut diminta menukar nama kepada Blackshed (kononnya Bloodshed membawa maksud ganas), Bloodshed terus berpecah.

Bagaimanapun, pada 2008 Bloodshed dihidupkan kembali oleh Hamdan Yusof. Bermula dari 2009, Bloodshed aktif kembali dengan pelbagai aktiviti persembahan.

Selain Hamdan Yusof, dua lagi anggota Bloodshed iaitu Hamdan Ahmad (dram) dan Zanaruddin (keyboard untuk album Villa Misteri) turut kembali bersama band itu.

Selain itu, turut mengganggotai band ini ialah Hatta yang juga penyanyi Junction dan bekas pemain bass Fotograf iaitu Said Hashim.

Hamdan berkata, Bloodshed bakal tampil dengan lagu terbaru mereka tidak lama lagi yang akan diedarkan oleh Universal Music Malaysia.

“Kami masih dalam proses rakaman. Konsep muzik kami tidak banyak yang berubah, cuma ia disesuaikan dengan keadaan sekarang,”katanya.

Bloodshed tidak hadir bersama lagu semata-mata, malah mereka turut memiliki studio sendiri di Jalan Reko, Kajang dan menubuhkan Bloodshed Event untuk penganjuran pelbagai majlis.

Paling menarik, Bloodshed kini memiliki kumpulan peminat mereka sendiri yang diberi nama Bloodbrothers Team serta restoran, Bloodbrothers Cafe di Sungai Kantan, Kajang.

“Bloodbrothers Team kini memiliki lebih 600 ahli. Ia ditubuhkan oleh peminat Bloodshed dan aktif dalam kerja amal dan aktiviti untuk Bloodshed,” katanya ketika ditemui di majlis pembukaan Bloodbrothers Cafe, baru -baru ini.

Hadir sama bekas anggota Bloodshed seperti Rosdan dan pemain dram pertama mereka iaitu Rozz. Ia turut dimeriahkan dengan kehadiran Man Kidal serta penyanyi dan pelakon Aman Shah.

Dalam pada itu, Hatta yang sebelum ini popular dengan Junction mula menyertai Bloodshed pada 2015.

“Saya antara peminat penyanyi asal mereka iaitu Rosdan. Apabila diminta menjadi penyanyi Bloodshed, saya ‘takut’ kerana berbanding Junction, mereka adalah nama besar.

“Namun, saya sahut cabaran itu. Lagipun konsep lagu Bloodshed yang kebanyakannya mengenai kemanusiaan dan perjuangan menarik minat saya,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Artis & Repertoire dan Strategik Universal Music Malaysia, Fauzi Omar berkata, pihaknya bersedia memberi peluang kepada Bloodshed untuk membuat ‘comeback’ dan menentukan genre rock yang ingin mereka ketengahkan dalam lagu terbaru mereka nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2017 @ 5:04 AM