PENDUDUK kampung turun membantu peserta konvoi.
PENDUDUK kampung turun membantu peserta konvoi.
DERETAN pacuan empat roda parkir untuk berehat.
DERETAN pacuan empat roda parkir untuk berehat.
ANTARA sungai yang perlu ditempuh peserta.
ANTARA sungai yang perlu ditempuh peserta.
LALUAN berselut perlu ditempuh kenderaan.
LALUAN berselut perlu ditempuh kenderaan.
SESI rawatan kepada penduduk.
SESI rawatan kepada penduduk.
BEKALAN ubat-ubatan sedia diagihkan.
BEKALAN ubat-ubatan sedia diagihkan.
MENGAGIH bantuan kepada anak Orang Asli.
MENGAGIH bantuan kepada anak Orang Asli.
MERAKAM gambar bersama penduduk.
MERAKAM gambar bersama penduduk.
Nor Azhar Mohamed


Merentasi tidak kurang daripada 11 sungai tanpa jambatan sempurna atau laluan kenderaan antara cabaran ekstrem bagi Misi Kemanusiaan Monsoon Trail 2016 baru-baru ini.

Tambahan pula misi konvoi itu perlu melewati sejauh 150kilometer jalan denai ke dalam hutan tebal Banjaran Titiwangsa bagi membantu Orang Asli yang menjadi rutin saban tahun buat peserta.

Misi yang diketuai Yayasan Al-Khalifah (YAK), berlangsung pada 22 sehingga 26 Disember lalu di perkampungan pedalaman Orang Asli suku Temiar di daerah Gua Musang, Kelantan ialah kemuncak kepada beberapa acara amal anjuran Yayasan Al-Khalifah.

Bantuan musim banjir

Berdasarkan pengalaman sering keluar masuk laluan balak dan belantara ketika musim kering ia sudah sedia rasa sukar, apatah lagi menjelang musim tengkujuh.

Malah apabila kenderaan Orang Asli hanyalah motosikal menyebabkan mereka terperap berbulan lamanya ketika musim tengkujuh.

Justeru objektif kumpulan sukarelawan membawa pek bantuan sebanyak 370 ‘kit’ kemanusiaan kepada komuniti Orang Asli menghadapi musim hujan dilihat satu keperluan kritikal bagi membantu survival mereka.

Berdasarkan pengamatan musim lalu, bekalan makanan sukar diperoleh disebabkan kesukaran peniaga runcit masuk ke pedalaman. Ini kerana keadaan jalan hutan tanpa tar ratusan kilometer menjadi rosak teruk untuk dilalui, tambahan pula jalan tanah berlubang, licin dan berselut.

Tambah sukar lagi, tanaman masyarakat berkenaan juga tidak mengeluarkan hasil pada musim tengkujuh.

Bekal ubat-ubatan

Selain memberi bantuan ‘kit kemanusiaan’ berbentuk keperluan dapur, slot bersama komuniti Orang Asli juga dijalankan.

Antaranya ialah rawatan kesihatan dan perubatan, kenduri ‘cak raya’ bersama penduduk, sukaneka, tayangan wayang pacak dan ziarah mahabbah.

Ketua Misi Perubatan Ahmad Zahari Zakaria berkata, peranannya dalam konvoi terbabit memberi sokongan membabitkan keperluan kesihatan serta perubatan kepada penduduk.

“Kami mempunyai latar belakang perubatan membantu mengisi slot aktiviti bersama penduduk dengan menawarkan sesi rawatan serta pemeriksaan kesihatan.

“Musim tengkujuh menyebabkan kesihatan penduduk sedikit terjejas apabila menghidapi penyakit seperti demam, batuk dan selesema.

“Selain itu kita membekalkan ubat-ubatan mengikut keperluan kerana pastinya sukar diperoleh oleh mereka yang tinggal di kawasan pedalaman,”katanya.

Uji ketahanan peserta

Misi Kemanusiaan Monsoon Trail turut mendapat kerjasama Yellow Cruiser Adventure, Yetza Garage, Pinzgauer Owner Malaysia, T6 Ranger Malaya, D’Harung Adventure Team, MRA Kelantan, Madrasah Darul Salam, JAKOA, JAKIM dan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.

Dalam misi ini sebanyak 30 kenderaan pacuan empat roda dengan 80 anggota aktivis dan sukarelawan melalui ‘Route O’.

Sukarelawan Nik Sabariah Abdullah, 30, berkata menempuh perjalanan sukar dan jauh memerlukan persediaan fizikal dan mental.

“Kerja amal seperti ini tidak semua orang mampu laksanakan apatah lagi pada musim tengkujuh.

“Ia memerlukan jentera serta kenderaan lengkap untuk sampai ke pedalaman. Mengambil masa sepanjang hari untuk sampai ke kampung, hanya insan kuat mampu teruskan pejuangan sebegini.

“Tahniah dan terima kasih kepada YAK kerana memberi peluang kepada saya merasai pengalaman berharga ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2017 @ 5:05 AM