Mangsa dikeluarkan anggota bomba dari bawah kereta sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik. FOTO ihsan bomba
Mangsa dikeluarkan anggota bomba dari bawah kereta sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik. FOTO ihsan bomba
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Penunggang motosikal maut selepas tercampak dan dilanggar kereta dalam kemalangan di Jalan Sultan Nazrin Shah, di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, seorang lagi penunggang motosikal turut cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Khairuddin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 3.03 petang yang berlaku berhampiran Balai Polis Kampung Rapat, di sini.

"Kemalangan membabitkan dua motosikal yang ditunggang dua lelaki dan sebuah kereta. Berdasarkan maklumat awal yang kami terima kemalangan itu berlaku apabila dua motosikal berkenaan dipercayai berlanggar.

"Akibat pelanggaran itu, seorang daripada penunggang tercampak ke tengah jalan sebelum dilanggar kereta," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, ketika pasukan bomba tiba dilokasi kejadian, lelaki berkenaan berada di bawah kereta yang melanggarnya dan dipercayai diseret kereta itu.

"Mangsa yang terperosok di bawah kereta itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik, manakala seorang lagi mengalami kecederaan.

"Anggota bomba bertindak mengangkat kereta berkenaan dengan menggunakan beg angin dan kemudian menarik keluar mangsa sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, mangsa yang cedera dihantar ke hospital dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan dan operasi tamat pada jam 4.07 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2017 @ 7:04 PM