Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Tapir yang ditemui berkeliaran di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Kertih, semalam dipercayai sudah kembali semula ke kawasan hutan berhampiran.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Mohd Hasdi Husin berkata, anggota PERHILITAN dari Kemaman bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat daripada pengguna lebuh raya mengenai haiwan terbabit.

Menurutnya, setibanya di kawasan terbabit pihaknya mendapati tapir itu sudah tiada dan tinjauan kemudiannya menemui kesan tapak kaki haiwan itu menghala ke hutan.

"Berdasarkan maklumat pekerja di ladang kepala sawit berdekatan, tapir itu memang sering dilihat berkeliaran di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Hasdi berkata, pihaknya yakin haiwan terbabit sudah kembali ke habitatnya selepas tersesat ketika cuba menyeberangi lebuh raya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2017 @ 7:13 PM
Tapir yang ditemui di LPT2) berhampiran susur keluar Kertih- FOTO ihsan Muhammad Amri Azmi