Wan Rosnida melihat keadaan keretanya yang ditemui selepas hilang selama tujuh jam. FOTO  Nor Amalina Alias
Wan Rosnida melihat keadaan keretanya yang ditemui selepas hilang selama tujuh jam. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Selepas tujuh jam dicuri, kereta milik guru wanita dijumpai di Klinik Kesihatan Lundang Paku, di sini, pada 2 petang, hari ini.

Kereta Suzuki Swift itu ditemui kira-kira sembilan kilometer dari tempatnya hilang di hadapan sebuah tadika di Ketereh pada 7.30 pagi.

Guru berkenaan, Wan Rosnida Wan Mohd Noor, 40, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memberitahu keretanya ada di klinik berkenaan.

Katanya, keretanya dilarikan seorang lelaki ketika dia mahu menghantar dua anaknya, Wan Afia Raisha Wan Mohd Aizuddin, 4, dan Wan Rania Azalia, 3, di tadika berkenaan sebelum dia mahu pergi mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh.

"Bila toleh ke belakang, saya lihat kereta saya mengundur laju dan dipandu seorang lelaki.

"Saya sempat ke kereta itu dan buka pintu bahagian penumpang hadapan. Saya lihat seorang lelaki berkulit gelap yang mencuri kereta saya, namun dia terus memecut kereta menghala ke Padang Lembek," katanya ketika ditemui di Klinik Kesihatan Lundang Paku, di sini, hari ini.

Katanya, dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Ketereh pada jam 8 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2017 @ 7:45 PM